Pages

Subscribe:

Labels

Showing posts with label Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts

Wednesday, February 23, 2011

Penyaluran Harta Tidak Syariah


Merujuk kepada artikel saya yang lepas berkenaan dengan cara membelanjakan harta hasil Riba, saya ingin memberi tambahan kepada isi artikel tersebut. Tambahan ini adalah hasil muzakarah Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009.
Antara lain, pada tarikh tersebut, Majlis Fatwa Kebangsaan telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal dan Institusi Islam yang lain.

Keputusan Muzakarah adalah seperti berikut :

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi
syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
  1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Keterangan/Hujah:
  1. Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir.
  2. Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa:
a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta- harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram.
b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya.
c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama’ secara ijma’. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.

Diharapkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ini dapat memberikan kita gambaran yang lebih jelas bagaimana sepatutnya kita lakukan terhadap harta-harta dari hasil yang tidak Syariah.

Semoga keberkatan Allah yang kita harapkan itu menatijahkan juga keredhaan daripadaNya, Insyaallah.

Berhati-hatilah dalam melakukan aktiviti harian kita terutamanya dalam aktiviti melibatkan ekonomi dan kewangan. Moga Allah lindungi kita selalu.


Rujukan :

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyaluran-harta-tidak-patuh- syariah-ke-baitulmal-dan-institusi-islam-lain

Thursday, November 25, 2010

Cara Membelanjakan Hasil Riba ( Interest, Faedah Bank Dan Hasil Pelaburan Konvensional )

Artikel-artikel sebelum ini telah banyak saya sentuh isu berkenaan dengan riba. Saya telah nyatakan serba sedikit takrif, dalil pengharaman dan perbezaannya dengan jual beli. Saya juga ada menyebut tentang aplikasi riba di bank dalam entry saya bertajuk " Riba : Masih Ramai Tidak Beri Perhatian."

Kali ini saya hanya mahu mencatat ringkas berkenaan dengan cara menggunakan hasil riba yang kita terima contohnya interest/ faedah dari bank-bank konvensional yang kita langgani.

Kita telah tahu amaran-amaran keras dari Al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW berkenaan pengharamannya dan dosa yang akan menimpa pemakan riba. Tapi kita belum tahu apa yang perlu kita lakukan terhadap harta-harta atau hasil riba yang kita perolehi.

Adakah kita perlu biarkan sahaja di dalam bank??

Atau kita keluarkan dan buang duit hasil riba itu ke dalam sungai??

Atau kita bakar sahaja??

Hendak diguna sudah tentu haram dan berdosa. Jadi bagaimana??




Insyaallah di dalam post ini saya akan terangkan dan buka jalan penyelesaian kepada anda sekalian.

Untuk mereka yang baru sedar akan keterlibatan mereka dengan dosa riba dan takut lagi gerun akan amaran-amaran keras Allah SWT, bertindaklah segera! Mungkin sudah tiba masanya anda bertukar kepada produk kewangan atau perbankan yang diyakini menjalankan sistem Islam.

Bagi yang sengaja menggunakan produk kewangan konvensional untuk mendapat pulangan dalam bentuk interest dan faedah pula, segeralah bertaubat. Tinggalkan rezeki yang tidak halal lagi besar dosanya itu.

Sumber Haram.

Dalam Islam, harta haram boleh diklasifikasikan kepada dua keadaan iaitu :

Haram kerana zatnya : Contoh bagi keadaan ini adalah anjing, babi, bangkai dan arak serta yang bersangkutan dengannya seperti air yang memabukkan lainnya. Barang-barang ini dijatuhkan hukum haram dalam apa-apa pun keadaan. Hatta memperolehinya dengan cara yang halal.

Haram kerana cara memperolehinya : Harta ini diharamkan bukan kerana zatnya tetapi kerana sifatnya. Contohnya seperti harta curi, hasil penipuan, riba dan sebagainya. Walaupun asal keadaan harta itu adalah halal tetapi cara kita memperolehinya menjatuhkan ia kepada hukum haram. Ahli Fiqh meletakkan satu kaedah yang mudah iaitu :

تَغَيُّرُ أَسْبَابِ الِمْلِك يُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ تَغَيُّرِ الأَعْيَان

" Berubahnya cara memperoleh sesuatu barang itu dihukumkan kepada perubahan kepada barnag tersebut. "


Maksudnya, jika salah cara walaupun asalnya adalah halal maka barang itu akan bertukar haram.

Maka tidak syak lagi bahawa hasil riba adalah dari harta haram kategori kedua iaitu haram disebabkan cara memperolehinya. Asal wang itu adalah halal, maka perlulah kita menyalurkan kepada masyarakat umum dengan cara yang halal iaitu dengan sedekah dan sebagainya.

Ulama menyarankan kita menggunakan hasil riba untuk diinfaqkan kepada masyarakat awam bagi kepentingan umum. Contohnya adalah seperti pembinaan jalan raya, tandas awam, jambatan dan sebagainya.

Perkara-perkara yang mulia tidak boleh kita lakukan dengan menggunakan hasil riba. Contohnya seperti pembinaan masjid, membeli al-Quran dan membayar zakat.

Allah SWT menyebut di dalam surah al-Baqarah ayat 267 maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, infaqkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan enggan terhadapnya. Dan ketahuilah Allah Maha Kaya , Maha Terpuji."

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

((أن الله طيب لا يقبل ألا طيبا ))

" Allah itu sukakan kebaikan dan Dia tidak menerima melainkan kebaikan "

Jadi, daripada dua dalil ini, maka ulama tidak membenarkan kita menginfaqkan atau menyedekahkan hasil riba kepada pembinaan rumah Allah dan perkara-perkara yang menjurus langsung kepada pengibadatan yang khusus. Ini bagi menghormati dan membesarkan Tuhan Rabbul Jalil.

Berikut adalah beberapa kaedah membelanjakan hasil riba ;

1. Membuat jambatan.
2. Membuat jalan raya.
3. Tandas awam.
4. Selipar untuk digunakan di masjid atau kawasan-kawasan lain.
5. Sabun, penyapu dan segala peralatan yang sepertinya untuk kegunaan awam
6. Disalurkan kepada badan kebajikan dan NGO-NGO yang melakukan kerja-kerja kebajikan.


Segera buat keputusan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sama-sama menjauhi dosa riba!

Wednesday, November 11, 2009

Pengenalan Dinar Emas




Sejarah Pengenalan Dinar Emas dan Dirham Perak.


Kesohoran dinar sebagai satu matawang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam. Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai instrumen alternatif dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas serta konsisten. Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana dan bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu matawang utama dalam kronologi ketamadunan Islam.

Sekiranya dinar emas mampu dinobatkan sebagai matawang utama pada ketika itu adalah tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula sebagai matawang alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan “Nothing Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years“ adalah amat berketepatan dan bersesuaian dalam menyatakan hakikat tersebut. Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh berlaku…jawapannya ialah matawang konvensional yang tersedia ada tidak berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Apa yang berlaku pada hari ini ialah dunia menggunakan wang kertas yang rezabnya hanyalah dalam bentuk nisbah peratusan emas yang diperuntukkan dan bukannya instrumen itu sendiri yang memiliki nilai emas secara keseluruhannya. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.

Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal daripada negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai matawang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara. Penggunaan kedua-dua matawang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad S.A.W dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga. Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula menyusup dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18 H atau 20 H, Saidina Omar r.a telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra. Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6% atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.

Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan matawang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76 H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku di antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.

Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai matawang utama. Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” disamping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.

Menurut analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub. Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai matawang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.


Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 9166 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat. Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga hartanah, gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan fitrah serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat. Ini memandangkan dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding matawang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak matawang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.


sumber : http://emasdinar.blogspot.com/2006/11/welcome-to-gold-dinar-info-selamat.html

Friday, September 18, 2009

Zakat Fitrah : Kewajipan Dan Kelebihannya






Kini kita telah berada di penghujung bulan yang paling mulia dan paling istimewa di antara bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan yang terkandung di dalamnya berbagai keberkatan hampir sahaja melabuhkan tirainya.

Sudahkah kita muhasabah diri kita pada penghujung Ramadhan ini??

Bagaimana keadaan iman dan hati kita sekarang?

Moga-moga jawapan yang bakal kita berikan tidak mengecewakan diri kita sendiri. Diharapkan Ramadhan kali ini sedikit sebanyak dapat mendidik diri, hati dan juga iman kita, Insyaallah.

Sedar atau tidak, bulan Ramadhan benar-benar menyediakan satu medan untuk kita memperelok diri dan iman, menambah-baik apa-apa yang perlu sebagai seorang hamba Allah di dunia ini dan menginsafi akan kekurangan saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik, yang miskin dan fakir.

Selain ibadah puasa yang disyariatkan di bulan ini, terdapat satu ibadah lagi yang tidak boleh kita ambil ringan iaitu zakat fitrah.

Kewajipan menunaikan zakat fitrah sudah pasti mempunyai hikmah dan kelebihan tersendiri kepada umat Islam khususnya.

Zakat Fitrah adalah kewajipan yang dikenakan ke atas setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan yang mencukupi bagi dirinya dan juga tanggungannya di Aidilfitri. Kewajipan zakat fitrah terhadap setiap muslim dinyatakan oleh saidina Umar RA berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Sesungguhnya Rasullullah SAW mewajibkan zakat fitrah daripada muslim, baik hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum " ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ).


Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Said Al-Khudry bermaksud :

" Ketika Rasullullah SAW berada bersama kami, kami mengeluarkan zakat fitrah untuk setiap anak kecil, orang dewasa, merdeka atau hamba sebanyak segantang makanan samada berupa keju, kurma, gandum atau anggur kering. "


Kita dapat melihat kelebihan atau faedah zakat fitrah ke atas setiap individu muslim dari 4 sudut iaitu sudut rohani, ibadah masyarakat dan ekonomi.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut rohani :

- Sesungguhnya zakat fitrah mampu mendidik hati dan menjauhkan orang yang menunaikannya daripada bersifat dengan sifat-sifat keji seperti kedekut dan mementingkan diri sendiri.

- Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abas bermaksud : " Diwajibkan oleh Rasullullah SAW bahawa zakat fitrah membersihkan bagi orang yang berpuasa dan memberi makan bagi orang miskin. "


Kelebihan zakat fitrah dari sudut ibadah :

- Zakat fitrah boleh menampung ibadah puasa yang mungkin berkurangan disebabkan kelakuan kita ketika berpuasa dan juga boleh menyucikan orang-orang yang berpuasa dari sifat lagha dan bercakap kotor atau keji di bulan Ramadhan.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut masyarakat :

- Kefarduan zakat fitrah akan memberi rasa kebersamaan orang yang berpuasa terhadap saudara-saudaranya yang fakir lagi miskin. Rasa kebersamaan ini lahir apabila golongan yang fakir lagi miskin ini mampu menikmati kemeriahan hari raya sama seperti saudara-saudara mereka yang lebih berkemampuan manakala golongan pembayar zakat dapat merasa ketenangan dengan kegembiraan yang terpancar dari raut wajah golongan yang fakir ini.

- Selain itu, kefarduan ini sudah pasti akan menyucikan masyarakat daripada sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, iri hati, dendam-mendendami, tamak, kedekut, ujub, riak dan takabbur. Akhirnya akan lahirlah keharmonian, kesejahteraan, keamanan dan ketenangan di dalam masyarakat seluruhnya.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut ekonomi :

- Apa lagi yang dapat dikatakan tentang keadaan ekonomi apabila permintaan dalam pasaran meningkat, sudah tentu aktiviti ekonomi akan bertambah rancak dan ini sudah tentu mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan terhadap negara khususnya.
Disamping dapat membantu golongan fakir miskin memenuhi keperluan di Aidilfitri, para peniaga juga dapat kelebihan daripada kefarduan zakat fitrah ini.

- Ekonomi negara Islam sudah pasti akan berada di tahap yang baik dan dapat meneruskan momentum kenaikannya sepanjang bulan Ramadhan.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa zakat fitrah adalah antara unit terpenting dalam ekonomi Islam yang mampu memberi banyak kelebihan kepada masyarakat dan negara khususnya dari sudut ekonomi selain merupakan terapi rohani dan jasmani kepada masyarakat sekaliannya.

Anda sudah tunaikannya??

" Barang siapa menunaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya maka zakat itu dterima dan barangsiapa yang membayar selepas solat, zakat itu sebagai sedekah biasa. " ( Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) .

Tunaikan sebelum esok! JOM..JOM..bayar zakat fitrah!


Rujukan :

1- Durus Iqtisodiah min Ramadhan, Dr Asyraf Muhammad Dawwabah
2- Fiqh Al-Manhaji
3- Berita Harian

Monday, December 15, 2008

Masa Depan Ekonomi Dunia



Melihat kepada masalah ekonomi yang melanda dunia hari ini, ramai bimbang akan kesannya pada masa- masa yang akan datang. Masalah yang berpunca di negara kuasa besar ekonomi, Amerika Syarikat telah meniup wabak kegawatan ekonomi ke seluruh pelusuk dunia.

Kebanyakan negara di dunia ini terkena tempiasnya. Malaysia juga tidak terkecuali. Semua bursa saham negara-negara di dunia ini jatuh merudum. Para pelabur risau akan keadaan yang berlaku lalu menarik pelaburan mereka. Para pemimpin pening kepala. Para pelabur pusing mata. Para rakyat yang akhirnya makin menderita.

Umum ketahui bahawa segala masalah ekonomi ini adalah berpunca daripada pengaplikasian sistem ekonomi yang nyata tidak lagi praktikal untuk diguna pakai oleh manusia.

Jika kita imbau satu masa dahulu, kita melihat sebuah kuasa besar mengetuai dan mendepani segala perkara. Sebelum meletusnya perang dunia pertama, Soviet Union nyata hebat dan ampuh kuasanya. Pengaplikasian sistem ekonomi Sosialis nampak mampu membawa dan memacu negara ini mendepani segalanya di dunia, ditambah lagi kawasannya yang luas merangkumi Timur dunia hinggalah ke Barat.

Namun akhirnya, negara hebat ini juga jatuh, sistem ekonomi sosialis mereka juga hancur. Terbukti bahawa sistem ini tidak sesuai di amalkan. Yang masih lagi mengamalkan sistem ini hanyalah beberapa buah negara sahaja kini. Itupun telah ditokok tambah dan disiat buang beberapa komponen.

Sistem ekonomi sosialisme mengaplikasikan kaedah memilik negarakan segala harta dan kekayaan milik rakyatnya. Segala urusan ekonomi adalah urusan negara. Setiap barang yang hendak dikeluarkan dan dipasarkan tidak boleh lari dari dasar negara. Yang mendapat pengiktirafan sahaja dibolehkan. Cara ini amat tidak produktif dan tidak sesuai diamalkan. Manusia juga punya hak untuk memiliki harta. Siapa yang mahu sistem seperti ini diamalkan? Kekurangannya, ia tidak mengiktiraf hak individu. Maka ia hancur.

Selepas perang dunia kedua, Amerika Syarikat mendaki tangga untuk menjadi kuasa besar dunia. Maka negara tersebut mula mendahului segala perkara dari bidang sains hinggalah ekonomi. Mereka mengguna pakai sistem ekonomi kapitalis yang mengamalkan sistem pasaran bebas lagi terbuka. Pengeluar bebas mengeluarkan apa sahaja jenis barangan. Harga pula ditentukan oleh satu teori yang digelar teori ' Invisible Hand' atau tangan tersembunyi.

Teori ini berfungsi mengikut jumlah penawaran dan permintaan terhadap sesuatu barangan. Maka hasilnya penindasan berlaku terhadap golongan miskin. Masyarakat yang miskin terus miskin, yang kaya berlonggok harta benda. Sistem yang tidak adil kepada manusia. Kerajaan pula langsung tidak memainkan peranan dalam aktiviti ekonomi. Sistem kewangan dan perbankannya pula mengamalkan riba. Menjual beli duit. Setiap pinjaman perlu dilangsaikan bersama dengan faedah yang sentiasa bertambah.

Akhirnya kita lihat sekarang, sistem ini juga bakal menemui penghujungnya. Ia tidak sesuai lagi diamalkan. Amerika Syarikat sendiri yang menguasai ekonomi dunia, yang gagah dengan matawang dolarnya hanya mampu berputih mata dan hanya mampu mengeluh melihat lebih trilion dolar lebur dalam pasaran saham mereka. Kalut seketika pentadbiran negara kuasa besar ini. Walaupun bertrilion dolar disuntik bagi membantu syarikat-syarikat kewangan dan institusi perbankan mendepani masalah ini, ianya masih lagi terus merebak.

Maka ramailah pakar-pakar ekonomi dan pemimpin-pemimpin dunia meramalkan kejatuhan sistem ekonomi kapitalis ini.

" Ekonomi Amerika Syarikat sedang sakit tenat sekarang ini...," bicara pemimpin Amerika Latin, Huga Chavez dan Evo Morales.

" ....krisis ekonomi menunjukkan berakhirnya Amerika sebagai kuasa besar kewangan...," itu kata Menteri Kewangan Itali berkenaan masalah yang berlaku kini.

Untuk lebih terperinci lagi, anda semua boleh membaca artikel oleh Francis Fukuyama bertajuk The Fall of America, Inc. Untuk membaca sila klik di sini.

Sebenarnya, para pelabur semuanya tidak yakin lagi dengan sistem kewangan dan perbankan Amerika. Sistem yang mengamalkan riba. Sebab itu Islam sejak azali lagi mengharamkan riba. Masalah sub-prima, yang merupakan kunci kepada masalah ekonomi sekarang berpunca disebabkan faedah yang dikenakan ke atas pinjaman yang semakin berganda-ganda dan menyulitkan peminjam untuk membayar semula.

Sekarang masyarakat dunia sibuk mengkaji dan mencari sebuah sistem baru yang lebih kukuh dan lebih praktikal. Hinggakan pernah seorang paderi menyeru rakyat Amerika mengkaji al-Quran dan meneliti setiap ayat-ayatnya. Lebih-lebih lagi ayat tentang ekonomi.

Islam tidak seperti agama-agama yang lain. Islam adalah agama yang merangkumi segala perkara, syumul. Ekonomi yang berteraskan Islam adalah yang terbaik untuk dipraktikkan manusia hakikatnya.

Islam mengiktiraf semua hak, hak memilik bagi individu, masyarakat dan negara. Ekonomi Islam tidak seperti ekonomi Sosialis yang hanya mengiktiraf hak milik negara sahaja. Begitu juga sistem Ekonomi Islam tidak mengamalkan riba atau faedah dalam institusi kewangan dan perbankan. Ia juga tidak menindas mana-mana pihak malah memberi jaminan sosial kepada golongan miskin dan fakir melalui komponen zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya.

Alhamdulillah, sekarang ini banyak negara yang semakin berminat kepada sistem Ekonomi Islam lebih-lebih lagi bidang kewangan dan perbankan Islam. Yang terbaru Hong Kong juga mahu mempraktikkan sistem ini dan mahu menjadi salah sebuah negara pemain kewangan Islam. Namun, segala ini haruslah dipantau oleh pakar-pakar penasihat syariah yang berkaliber dan berdaya saing untuk memastikan segala sistem dan perlaksaan bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Jika hanya saduran dan nama semata maka lihatlah kehancurannya.

Masa depan ekonomi dunia sebenarnya amat cerah jika semua berubah kepada sistem Ekonomi berteraskan Al-Quran dan Sunnah ini. Tidak perlu lagi mencari dan mencipta sebuah sistem baru. Cukuplah Ekonomi Islam sebagai pengganti.

Bersediakah kita??????






Monday, October 6, 2008

Debaran Ekonomi Dunia


Dalam minggu ni Amerika Syarikat ( AS ) berhadapan dengan krisis kewangan yang agak teruk sejak kemelesetan ekonomi 1930, maka berserabut la kepala para pentadbir negara AS memikirkan cara nak mengatasi masalah ni..knp??? Sudah tentulah takut kuasa ekonomi dunia yang dikuasai mereka selama ni diambil alih oleh 'orang lain'. Agaknya, negara manalah yang boleh menggantikan AS sebagai kuasa ekonomi dunia..ermm..yang ni saya nak bagi anda semua fikir sendiri..cukup mudad.. ' klunya' adalah , 'Naga Bangun Dari Tidur'.

Berbalik semula dengan cerita AS tadi, maka Bush yang merupakan Presiden paling kejam di dunia itu pun mengumumkan satu pelan penyelamat krisis ekonomi AS. Tahu pun takut...Tapi malangnya usul yang dibawa oleh Bush ini ditolak mentah-mentah oleh Dewan Perwakilan AS.

Untuk pengetahuan semua pelan keselamatan tersebut bernilai AS 700 billion Dolar..Mungkin Dewan Perwakilan sudah tidak percaya lagi pada Bush sebab tiap-tiap tahun dia meminta tambahan peruntukan ketenteraan di Iraq tapi hasil hanya merugikan negara sahaja..tapi yang lebih parah, ahli-ahli parti dia pun tolak cadangan tu..huhuhu..kecewa yang teramat 'la' dia..

Dalam kenyataannya di White House, Bush menyatakan kebimbangannya dan kekecewaannya terhadap apa yang berlaku.. Katanya lagi AS akan 'lingkup' jika pelan tersebut tidak diluluskan dengan segera..

Jadi Bush terus mendesak Dewan Perwakilan untuk meluluskan pelan ini..Jika tidak habislah segala simpanan dan portfolio berjuta-juta rakyat AS dan yang pasti antara jutaan itu adalah beratus-ratus ribu berfahaman Yahudi Zionisme...

Perkembangan ini juga telah menyebabkan indeks Dow Jones merosot 777 mata..penurunan paling tinggi dicatatkan.

Masalah ini juga sedang merebak di seluruh tanah Eropah yang mengamalkan sistem ekonomi Kapitalis..

Di London, indeks utamanya jatuh 4.26% di awal dagangan hari ini.. Apa pun Bank of England melaporkan akan membantu dengan memberi suntikan sebanyak USD 10 Billion bagi memastikan pasaran sahamnya terus kembali rancak.

Tekanan turut dirasai di Belgium, indeks Fortes susut agak banyak dan boleh menyebabkan ia muflis..

Di Jerman pula, Canselornya telah mengumumkan suntikan sebanyak Euro 50 billion bagi membantu sektor kewangannya yang semakin tenat.

Negara-negara Barat amat risau dengan keadaan yang berlaku sebenarnya. Jika Ekonomi AS jatuh lingkup maka sudah pasti China sebagai kuasa ekonomi kedua terbesar dunia akan menggantikan dan menjatuhkan keegoan Barat selama ni.. Dan jika China menguasai ekonomi dunia maka Asia akan lahir sebagai kuasa ekonomi terkuat nanti..China adalah antara seteru paling utama kepada AS.

Sebenarnya kegagalan ekonomi Barat berfungsi adalah kerana pengamalan sistem ekonomi Kapitalisnya yang terlalu terbuka dan pengamalan riba setiap transaksi yang dijalankan. Jelas di sini terpapar keburukan sistem ekonomi yang dicipta oleh manusia, sistem yang menentang fitrah semulajadi kehidupan..

Benarlah firman Allah Taala di dalam surah Al-Baqarah, ayat 275 yang bermaksud:

" Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan kerana gila..."
Jika kita lihat keadaan mereka sekarang tidak ubah seperti keadaan yang dinyatakan Allah SWT di dalam ayatNya yang agung ini. Bahkan sekarang bukan manusia sahaja tidak dapat berdiri dengan betul, institusi-institusi kewangan pun turut tidak boleh ' berdiri ' dengan stabil.

Baru sekarang mereka sedar akan peri penting dan bernilainya sistem ekonomi Islam yang syumul dan terbaik..walaupun kita terkena tempias masalah ini namun kita boleh untuk lari dari terus 'terpercik' dengan mengaplikasikan sistem ekonomi yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.

Sistem ekonomi Islam tidak mengamalkan riba yang merupakan punca berlakunya masalah Subprima di AS dan akhirnya membawa kepada masalah yang berlaku sekarang.

Kesimpulannya, sistem ekonomi yang berteraskan al-Quran dan As-Sunnah adalah amat bertepatan untuk diaplikasikan bagi menjamin kemaslahatan ummah manusia keseluruhannya.

Maka terbukalah peluang kepada pakar-pakar ekonomi Islam khususnya untuk memperkenalkan dan menjadikan Sistem Ekonomi Islam sebagai satu pilihan yang terbaik bagi menggantikan sistem ekonomi lain dan diamalkan di seluruh pelusuk dunia. Kepada sahabat-sahabat satu kuliah dan pengkhususan,bersedialah untuk merubah duniaaaaa!!!

* terima kasih kapada senior saya, abang Hassan yang memberikan cetusan idea untuk saya menerbitkan tajuk ini..

Rujukan :

1. http://voiceofmalaysian.com/2008/09/30/dewan-amerika-tolak-pelan-penyelamat-krisis-ekonomi-rm24-trilion/
2. www.tv3.com.my/buletinutama
3. Utusan Online
4.http://findarticles.com/p/articles/mi_m1272/is_n2586_v122/ai_14995070



Sunday, October 5, 2008

Imperialisme Ekonomi







Bismillahirrahmannirrahim....

Salam pertemuan saya ucapkan kepada kawan-kawan semua. Alhamdulillah pada saat ni saya dh hampir satu bulan berada di Bumi Anbia, Jordan. Keadaan di sini alhamdulillah, baik.

Sebagai pelajar pengkhususan Ekonomi dan Perbankan Islam, saya selalu memerhati dan berfikir tentang masyarakat di bumi Jordan ini dari sudut ekonomi tentunya.

Dan kadang-kadang buat saya berfikir tentang sumber dan kebergantungan ekonomi Jordan. Jordan adalah salah sebuah negara yang kecil di Timur Tengah yang berhadapan dengan masalah kekurangan sumber-sumber utama seperti air, minyak dan sumber semulajadi yang lain. Dalam seminggu pasti ada masalah kekurangan air di sini. Air minum pun kena beli, jauh beza dengan Malaysia ( dari sudut sumber airnya ) . Dengan kekurangan ini Jordan terpaksa bergantung kepada sumber air dari negara lain seperti Syria, Israil dan Mesir.

Sumber ekonomi Jordan adalah dari pertanian, industri, pendidikan dan perlancongan. Tapi banyak manalah sangat hasil yang diperoleh dari sumber-sumber ni.. Hinggakan satu ketika Bank Dunia pernah mengkatogerikan negara ini sebagai 'negara dengan pendapatan sederhana terendah' Haaaaa...macam mana tu..

Jordan juga membuat pinjaman melalui IMF. Bila dah sain kontrak dengan IMF ni kesannya dah tentu pada kestabilan ekonomi. Hutang yang sentiasa berganda dengan faedahnya sekali. Kena pulak patuh pada 'pengurus IMF' iaitu US, anak angkat si Israel tu..maka akhirnya tertindas la segala khazanah dan ekonomi negara Jordan ni..

Bukan IMF je bertindak bagai jerat pada negara ni, Jordan juga ada membuat perjanjian perdagangan bebas dengan US yang kita kenali sebagai FTA. Dengan perjanjian ini sebenarnya ekonomi Jordan terjerat.

Para peniaga di sini tidak dapat menyaingi produk-produk dan perkhidmatan setanding dengan negara maju seperti US. Kemasukan produk-produk dari US sebenarnya telah bertindak bagai racun kepada ekonomi Jordan..

Paling nyata di Jordan ini segala kegiatan ekonomi ditentukan secara sembunyi dan tidak sedar oleh US. Maka US dengan pengaruh Zionisme telah menguasai Jordan sebenarnya. Maka jadilah Jordan salah sebuah negara Arab Islam yang mengiktiraf Israel. .

Barang-barang yang dijual di sini kebanyakannya mengikut 'trend' Barat. Dari makanan hinggalah kepada pakaian dan kenderaan.

Masyarakat pun teracun dengan imperialisme Barat melalui jalan ekonomi ini. Fikiran masyarakatnya diracun,suka tiru gaya orang Barat yang sebenarnya langsung tidak mengakui 'keBaratan' mereka...pergaulan bebas..pakaian yang mendedah aurat..hinggalah kepada sistem kewangan yang tidak Islami. Akhirnya Islam lemah di tanah sendiri. Bertepuk tanganlah US, Israel...kita umat Islamlah yang sentiasa duduk dibawah, ditindas, diancam..

Dalam diam sebenarnya US dan konco-konconya telah menakluk Jordan. Inilah yang kita katakan sebagai penjajahan bentuk baru..imperialisme moden..imperialisme melalui ekonomi...fikir-fikirkanlah...

Rujukan :-

1. https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/print/jo.html
2. http://www.jordanusfta.com/economy_jordan_en.asp
3. http://globaledge.msu.edu/countryInsights/economy.asp?countryID=24&regionID=3
4. http://www.ameinfo.com/news/Jordan_Focus/



Wednesday, June 18, 2008

Cabaran Ekonomi Buat Ummah


Bismillahirrahmannirrahim....


Cuba kita imbau sejarah dunia sejenak...


Kita telusuri abad ke-19 yang memperlihatkan pengaruh kuasa-kuasa imperialisme Barat yang menguasai kebanyakan negara-negara di Asia dan Afrika termasuklah negara-negara umat Islam. Tujuan penguasaan mereka sudah pasti untuk kebaikan ekonomi mereka.


Kita rentas pula abad ke-20 yang menyaksikan negara-negara yang dijajah ini cuba bebas dari imperialisme Barat yang nyata merosakkan ini. Mereka cuba sedaya upaya untuk bebas...untuk jauh dari imperialisme ini. Namun hakikatnya mereka tidak berjaya untuk bebas 100%. Mereka masih dikuasai dan dihantui dengan pengaruh Barat yang menyelinap ke setiap ruang rongga intelektual, sosial dan ekonomi masyarakat mereka tidak terkecuali negara-negara Islam sendiri.


Di era mellinium ini, masyarakat dunia, khususnya negara-negara Islam mengharapkan kebebasan menyeluruh dari segenap ruang daripada pengaruh Barat ini; agar membolehkan umat Islam bebas hidup berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah..Namun sudah pasti semuanya ini memerlukan satu gerak usaha yang besar dan berterusan.


Umat Islam perlu bangkit dan cuba membebaskan diri daripada bergantung kepada dunia Barat khususnya. Kebanyakan negara Islam meminjam dalam jumlah yang amat besar daripada negara Barat. Mereka bukan sahaja menggunakan dana asing ini untuk pembangunan negara bahkan sesetengahnya menggunakan untuk perbelanjaan harian negara mereka. Lebih parah lagi apabila ada di antara negara Islam ini menggunakan pinjaman ini bagi membayar semula 'interest' bagi pinjaman mereka. Ini menyebabkan hutang mereka makin membesar, akhirnya ekonomi mereka akan terkesan. Apa yang menyedihkan di sini para 'penghutang' ini pasti mengenakan syarat-syarat tertentu yang akhirnya bakal menyekat segala objektif negara dan memaksa kita mengikut polisi-polisi yang mereka tetapkan. Polisi-polisi ini sudah pasti strategi mereka untuk menguasai negara-negara Islam secara halus.


Islam nyata tidak menggalakkan amalan berhutang. Rasullullah SAW sendiri pernah menolak untuk menyembahyangkan jenazah seorang yang meninggal tanpa sempat menjelaskan hutang sehinggalah Umar sanggup untuk menjamin hutang-hutang orang tersebut.


Prinsip Islam amat jelas menyatakan Umat Islam perlu mengelak dari berhutang walau terpaksa bersusah payah. Apa lagi yang tidak cukup dengan negara Islam.. Negara-negara Islam adalah pengeluar petroleum terbesar dunia,memegang lebih 60% pengeluaran minyak dunia.


Silapnya sudah pasti tiadanya kesepakatan dan persaudaraan sesama umat Islam. Bukan dari sudut ekonomi sahaja tetapi segenap ruang kehidupan ummah. Sepatutnya negara-negara Islam yang kaya-raya boleh membantu yang lain. Sama-sama berganding bahu membasmi kemiskinan di negara-negara saudara seIslam lainnya. Ekonomi umat Islam keseluruhannya tidak dapat berkembang,tidak dapat maju jika masih lagi tiada kesepakatan sesama sendiri..

Tiada guna OIC dan organisasi lainnya dalam menjaga kemaslahatan UMMAH..



bersambung......

Tuesday, June 17, 2008

EKONOMI RABBANI

Ekonomi adalah asas terpenting pembinaan sesuatu kelompok masyarakat. Hadirnya sebuah masyarakat manusia itu pasti tidak dapat dipisahkan dengan wujudnya sistem perekonomian yang terbaik bagi menjamin kemakmuran dan kemajuan kelompok masyarakat tersebut. Tidak hairanlah seorang tokoh falsafah Yunani, Plato dalam bukunya 'The Republic' menyatakan bahawa asas perkembangan sesebuah negara itu adalah bermula dengan aktiviti ekonomi yang akhirnya berkembang megukuhkan kekayaan sesebuah masyarakat. Tokoh Islam terkenal, Ibnu Khaldun dalam karya agungnya Al-Mukaddimah turut menyatakan sistem ekonomi memainkan peranan yang penting dalam pembinaan tamadun manusia..

Sebagai agama yang syumul, Islam juga mengiktiraf sistem ekonomi dan menggalakkan umatnya berekonomi. Tetapi sistem ekonomi yang bagaimanakah yang dituntut oleh Islam?? Serta diiktiraf pengamalannya??

Sudah tentulah sistem ekonomi yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.. Sebuah ekonomi yang menjamin akan kesamarataan dan keadilan buat umat manusia keseluruhannya. Sebuah sistem ekonomi yang pasti dijalankan hanya untuk mendapat keredhaan Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah al-Hadid : 7 maksudnya :

"Berimanlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya, dan belanjakanlah ( pada
jalan kebajikan ) sebahagian harta benda ( pemberian Allah ) yang
dijadikannya kamu menguasainya sebagai wakil. Maka orang yang
beriman di antara kamu serta mereka membelanjakan ( sebahagian
daripada harta itu pada jalan Allah ) mereka tetap beroleh pahala yang
besar."

Matlamat akhir untuk seseorang muslim itu dalam berekonomi adalah untuk merebut CINTA Tuhan yang Maha Esa. Mendapat keredhaan dari-Nya selaku Pencipta segala kurnia. Bukan sekadar mencari kekayaan dunia..bukan juga mencari kebahagiaan dan cinta dunia, tetapi merebut kekayaan di akhirat sana, menagih kebahagiaan dan cinta yang kekal di sisi Tuhan Maha Pencipta. Ekonomi Islam dibina berteraskan kalamullah..Al-Quran dan As-Sunnah yang mulia. Bukan dari akal pemikir ternama, bukan juga dari rasa hati dan ilmu cetek manusia..

Tiada nilai sistem ekonomi Kapitalis, Sosialis di sisi sistem Ekonomi Islam ( sistem ekonomi terbaik seantero alam ). Mengapa kita perlu ragu untuk mengaplikasikannya.. Ekonomi Rabbani pasti menjana kemajuan,keadilan dan kemakmuran sesebuah negara.


Rujukan : 1) الوجيز في الفكر الإقتصاد الوضعي واللإسلامي
2) Penghantar Ekonomi Islam