Pages

Subscribe:

Monday, November 3, 2008

Zakat- Membina kekuatan UMMAH



Bismillahirrahmanirrahim...


Zakat seperti mana yang kita semua tahu, merupakan sebuah kewajipan yang diperintahkan oleh Allah SWT ke atas setiap muslim. Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran bahawa menunaikan zakat itu adalah sebahagian daripada ciri-ciri penting umat Islam yang membezakannya dari penganut-penganut agama lain. Firman Allah SWT di dalam surah At-Taubah, ayat 71 yang bermaksud:


" Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi sesetengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat kebajikan dan melarang berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan diberi rahmat oleh Allah; Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana."


Berdasarkan daripada ayat tadi, dapat kita perhatikan bahawa Islam juga amat mementingkan kewujudan masyarakat yang adil, bersatu-padu, tolong-menolong, bantu-membantu dalam mengharmonikan kehidupan masyarakat di dalam sesebuah negara.

Negara yang aman, tenteram dan masyarakatnya hidup bersatu-padu akan mewujudkan suasana ekonomi yang stabil dan seimbang pastinya, seiring dengan peningkatan produktiviti masyarakat Islam keseluruhannya dengan agihan kekayaan dalam masyarakat.

Tiada lagi manusia yang kaya terus-terusan mendabik dada, juga hilang manusia yang fakir miskin meminta-minta.

Harta yang diperoleh golongan kaya berada sebenarnya mengandungi hak golongan fakir yang papa kedana dan perlu ditunaikan hak tersebut.


Bagaimana?? Tak lain tak bukan adalah melalui kewajipan zakat. Secara konseptualnya, Allah SWT telah mengfardhukan Zakat sebagai salah satu jaminan sosial kepada masyarakat terutamanya kepada golongan yang amat memerlukan, merancakkan pertumbuhan ekonomi yang seimbang melalui agihan semula kekayaan dalam masyarakat dan sebagai satu bentuk penyucian dan pembangunan spiritual kepada setiap muslim. Ia bertindak sebagai satu mekanisme yang penting kepada sesebuah negara Islam bagi menjamin kemaslahatan rakyat seluruhnya.


Jika dilihat secara halus dan mendalam, zakat mempunyai keupayaan dan kekuatan bagi membasmi kemiskinan dan menjamin keseimbangan dalam pasaran melalui mekanisme agihan semula kekayaan dalam masyarakat.


Teringat kata-kata pensyarah saya sewaktu kelas Tawazun al-Iqtisod ( Keseimbangan Ekonomi ), Dr Kamal Hattab dalam membicarakan tentang kepentingan zakat kepada sesebuah negara. Beliau menyatakan bahawa zakat merupakan satu pendapatan yang tetap dan sentiasa diperolehi negara dan ianya tidak akan terhenti. Jadi negara Islam dapat menggunakan sumber zakat bagi membina kekuatan ekonomi, sosial, pendidikan dan akhirnya dapat membina kekuatan Umat Islam seterusnya membina kesatuan Ummah yang jitu!


Di sini saya bawakan beberapa kajian imperikal tentang bagaimana berperanannya zakat terhadap agihan pendapatan masyarakat..

Jehle ( 1994 ) telah melakukan kajian terhadap agihan pendapatan di Pakistan menggunakan satu teori ekonomi yang dikenali sebagai AKS index bagi mengukur ketidakseimbangan agihan pendapatan. Hasil kajian beliau mendapati zakat telah mengurangkan ketidakseimbangan agihan pendapatan di Pakistan walaupun penurunan tersebut adalah kecil tetapi ia tetap berperanan.

Untuk contoh di Malaysia pula, Patmawati Ibrahim ( 2006 ), seorang pensyarah kanan di Jabatan Syariah dan Ekonomi, Akedemi Pengajian Islam, Universiti Malaya telah melakukan kajian kesan zakat terhadap agihan pendapatan di Selangor. Ringkasnya, hasil kajian beliau mendapati zakat telah berjaya mengurangkan ketidakseimbangan agihan pendapatan di Selangor dan seterusnya dapat membela golongan fakir dan miskin

Zakt juga dikenalpasti sebagai komponen utama alam sistem keselamatan sosial Islam. Zakat mengurangkan kemiskinan ( walaupun tidak membasminya ) dan mengurangkan jurang agihan semula pendapatan ( walaupun tidak menghapuskannya ), dan mempunyai potensi untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi ( Imtiazi, 1989 ).

Jika kita sorot kembali zaman kegemilangan Ketamadunan Islam, kita dapat melihat sebab mengapa umat Islam ketika itu dihormati, disanjung dan digeruni. Selain kekuatan dari segi ketenteraan pada ketika itu, negara Islam juga memiliki ekonomi yang cukup kukuh dan agihan pendapatan yang cukup stabil. Baitulmal cukup penting memainkan peranan bagi tujuan ini ketika itu dan sumbernya tak lain tak bukan adalah dari sumber zakat. Jadi jelas kita dapat perhatikan betapa zakat memainkan peranan yang cukup besar dalam membina kekuatan ekonomi dan menjaga kebajikan umat Islam.


ANTARA KEPENTINGAN DAN SUMBANGAN ZAKAT TERHADAP NEGARA ISLAM :

1) Memajukan masyarakat Islam dalam semua bidang termasuk ekonomi, sosial, pendidikan dan sebagainya.

2) Memperkukuh ekonomi Umat Islam dan seterusnya menjadikan Umat Islam dihormati da disegani oleh masyarakat dunia.

3) Membangunkan ekonomi Umat Islam.

4) Mengurangkan masalah sosial.

5) Kerajaan dapat membina kilang-kilang perusahaan untuk menyediakan pekerjaan kepada umat Islam.

6) Membantu golongan susah dengan mengadakan projek-projek berfaedah untuk meningkatkan pendapatan mereka.

7) Membina kemudahan asas seperti jalan raya, dan sebagainya.

8) Syiar Islam dapat ditingkatkan dengan cukup baik dalam keseluruhan kehidupan umat Islam.


Akhirnya dapat saya simpulkan di sini, zakat telah memainkan peranan yang cukup besar dalam membina kekuatan Ummah terutamanya dari sudut ekonomi umat Islam itu sendiri. Namun pengagihan yang betul, sistematik dan adil oleh sesebuah negara Islam terhadap sumber zakat ini amat penting jika mahu segala yang dibicarakan di atas tadi berjaya dizahirkan. Semoga kita dapat mengembalikan kegemilangan umat Islam!!


Rujukan:

1) Al-Quran al-Karim
2) Fiqh Zakat- Dr.Yusuf Al-Qardhawi
3) Kertas Kerja Peranan Agihan Zakat Dalam Meningkatkan Tahap Ekonomi Ummah-
Partmawati Haji Ibrahim,Pensyarah Kanan Jabatan Syariah dan Ekonomi UM.
4) ٌإقتصاديات الزكاة و تطبيقاتها المعاصره - الدكتور ابراهيم عبد الحليم عبادة
5) http://www.muis.gov.sg/websites/khutbah/ser-m-08o199.html
6) http://www.e-zakat.com.my




0 comments: