Pages

Subscribe:

Monday, September 29, 2008

Wang Kertas Dan Hukumnya

Bismillahirahmanirrahim...



Assalamualaikum WBT..alhamdulillah,syukur kehadrat Allah yang maha kuasa, diberi kesempatan kepada ana untuk menulis pada kali ini setelah lama tidak dapat menumpahkan sekelumit ilmu di laman ini buat tatapan bersama..



Insyaallah di kesempatan ini ana ingin berkongsi maklumat tentang hukum berkenaan matawang kertas atau ringkasnya wang kertas.. Seperti mana yang kita ketahui, sejarah peradaban manusia melukiskan bahawa manusia menggunakan berbagai alat sebagai medium untuk melakukan transaksi atau jual beli di berbagai zaman yang berbeza. Bermula dengan penggunaan sistem barter hinggalah kepada kewujudan matawang kertas di zaman moden ini.



Akan tetapi wang kertas merupakan satu permasalahan baru dan amat memerlukan kepada hukum fiqh bagi menentukan penggunaanya adalah bertepatan dengan syarak dan berlandaskan hukum Islam..



Dalam masalah ini ulama zaman moden merujuk kepada masalah hukum matawang yang diperbuat selain daripada emas dan perak yang telah dibahaskan oleh ulama terdahulu. Terdapat tiga pendapat dalam membincangkan perkara ini.. Pendapat pertama adalah daripada Syeikh Abdul Qadir bin Ahmad bin Badran ( 1346 h) dan Syeikh Ahmad Husaini, Syeikh Salam bin Abdullah dan sebahagian syeikh Al-Azhar. Mereka berpendapat wang kertas bukan wang sebenar disisi syarak dan tidak mempunyai illah thamaniah. Wang tersebut dikeluarkan oleh negara berdasarkan nilai emas dan perak bagi setiap penyimpan daripada kalangan rakyat. Maka matawang sebenar adalah simpanan emas dan perak , manakala wang kertas hanyalah dianggap sebagai bukti simpanan individu dalam negara.



Hasil dari pendapat ini maka dapat disimpulkan bahawa tidak sah menjadikan wang kertas sebagai modal dalam perniagaan ataupun syarikat dan juga tidak boleh dijadikan jual beli secara salam kerana wang kertas tersebut dianggap sebagai bukti hutang negara kepada penyimpan. Selain itu, tiada illah riba padanya. Ianya boleh dijual beli dengan nilai yang berbeza dan tidak disyaratkan berjual beli dalam waktu akad yang sama serta tidak wajib zakat ke atasnya.



Pendapat kedua pula dari Syeikh Abdul Rahman Saa'di, Syeikh Hassan Ayyub dan mufti Turki, Syeikh Khalil Kunnakh, menganggap wang kertas sebagai mal mutaqqawam yang mempunyai nilai sama seperti barang lain. Kertas dianggap sebagai mal mutaqawwam bukannya mempunyai nilai emas dan perak. Selain itu kertas tidak mempunyai sifat barang ribawi serta negara pada bila-bila masa boleh menghapuskan penggunaannya. Kesimpulan kesan dari pendapat ini sama seperti pendapat pertama :



( 1 ) wang kertas bukti hutang negara kepada penyimpan - tidak sah dijadikan modal

dalam perniagaan.



( 2 ) Tiada illah riba padanya.



( 3 ) Tidak wajib zakat ke atasnya.



Pendapat ketiga pula : wang kertas mempunyai ilah thamaniah. Pendapat ini adalah pendapat majoriti ulama terkini. Antaranya Syeikh Abu Baker Hasan Al- Kashnawi, Syeikh Abdullah bin Mani', Doktor Wahbah Zuhaily dan Syeikh Yusof Al-Qardawi. Pendapat ini juga merupakan qarar majma' Fiqh dalam muktamarnya yang kelima.



Hujahnya adalah:



1. Qias dengan matawang emas dan perak kerana kedua-duanya diiktibar sebagai

perantaraan dalam urusan jual beli.

2.Uruf seluruh manusia menggunakannya dalam semua urusan ekonomi.

3. Negara mengiktirafnya.

4. Maslahah manusia kerana manusia berhajatkan penggunaan matawang.

5. Kaedah saad azzirai'. Sekiranya wang kertas tidak mempunyai illah thamaniah akan

membatalkan hampir semua hukum syarak seperti tidak diwajibkan zakat dan tidak

terhasil riba padanya.



Kesan daripada hujah ini maka wang kertas sah dianggap sebagai modal syarikat ataupun mudharabah serta mempunyai illah riba. Wang kertas akan dikenakan zakat sekiranya mencapai nisob sama seperti emas dan perak.



Kesimpulannya pendapat yang paling rajih adalah pendapat yang ketiga..mengapa??



( 1 ) Pendapat yang mengatakan matawang kertas berdasarkan simpanan emas dan perak

dalam negara tidak tepat kerana pada zaman ini pengeluarannya berdasarkan kekuatan

ekonomi, politik dan ketenteraan.



( 2 ) Pendapat yang mengaggap matawang kertas sebagai mal mutaqawwan ataupun
pendapat lain yang menyatakan ia hanyalah kertas biasa juga tidak boleh diterima

kerana seluruh masyarakat dunia mengaggapnya sebagai wang.



( 3 ) Nilai matawang kertas bukanlah pada kertas secara zahir semata-mata tetapi pada nilai

thamaniahnya berdasarkan uruf manusia.



Doktor Yusof Qaradhawi dalam fatwa muasirah beliau menyatakan :



" Wang kertas telah menjadi wang yang digunakan diseluruh dunia. Bagaimanakah ingin membatalkan hukum riba padanya sedangkan semua manusia bermuamalah dengannya dan tidak lagi dengan emas atau perak? Sesiapa yang memiliki wang ini dianggap kaya walaupun tidak mempunyai simpanan emas dan perak. Degan wang kertas lelaki menjadikannya mahar kerana merupakan harta. Digunakan dalam jual beli ,sewa dan untuk membayar diat. Semua muamalat melalui wang kertas dn sudah tentu mencapai tahap emas dan perak".

Rujukan:

1.Muamalat Malih Muasirah. prof Doktor Wahbah Zuhaily
2.Awraq Naqdiah Fi Iqtisad Islami. Ahmad Hasan
3.Fatwa Muasirah Doktor Yusof Al-Qardawi,jilid 1.

0 comments: