Pages

Subscribe:

Wednesday, February 23, 2011

Penyaluran Harta Tidak Syariah


Merujuk kepada artikel saya yang lepas berkenaan dengan cara membelanjakan harta hasil Riba, saya ingin memberi tambahan kepada isi artikel tersebut. Tambahan ini adalah hasil muzakarah Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009.
Antara lain, pada tarikh tersebut, Majlis Fatwa Kebangsaan telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal dan Institusi Islam yang lain.

Keputusan Muzakarah adalah seperti berikut :

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi
syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
  1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Keterangan/Hujah:
  1. Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir.
  2. Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa:
a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta- harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram.
b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya.
c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama’ secara ijma’. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.

Diharapkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ini dapat memberikan kita gambaran yang lebih jelas bagaimana sepatutnya kita lakukan terhadap harta-harta dari hasil yang tidak Syariah.

Semoga keberkatan Allah yang kita harapkan itu menatijahkan juga keredhaan daripadaNya, Insyaallah.

Berhati-hatilah dalam melakukan aktiviti harian kita terutamanya dalam aktiviti melibatkan ekonomi dan kewangan. Moga Allah lindungi kita selalu.


Rujukan :

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyaluran-harta-tidak-patuh- syariah-ke-baitulmal-dan-institusi-islam-lain

Thursday, November 25, 2010

Cara Membelanjakan Hasil Riba ( Interest, Faedah Bank Dan Hasil Pelaburan Konvensional )

Artikel-artikel sebelum ini telah banyak saya sentuh isu berkenaan dengan riba. Saya telah nyatakan serba sedikit takrif, dalil pengharaman dan perbezaannya dengan jual beli. Saya juga ada menyebut tentang aplikasi riba di bank dalam entry saya bertajuk " Riba : Masih Ramai Tidak Beri Perhatian."

Kali ini saya hanya mahu mencatat ringkas berkenaan dengan cara menggunakan hasil riba yang kita terima contohnya interest/ faedah dari bank-bank konvensional yang kita langgani.

Kita telah tahu amaran-amaran keras dari Al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW berkenaan pengharamannya dan dosa yang akan menimpa pemakan riba. Tapi kita belum tahu apa yang perlu kita lakukan terhadap harta-harta atau hasil riba yang kita perolehi.

Adakah kita perlu biarkan sahaja di dalam bank??

Atau kita keluarkan dan buang duit hasil riba itu ke dalam sungai??

Atau kita bakar sahaja??

Hendak diguna sudah tentu haram dan berdosa. Jadi bagaimana??




Insyaallah di dalam post ini saya akan terangkan dan buka jalan penyelesaian kepada anda sekalian.

Untuk mereka yang baru sedar akan keterlibatan mereka dengan dosa riba dan takut lagi gerun akan amaran-amaran keras Allah SWT, bertindaklah segera! Mungkin sudah tiba masanya anda bertukar kepada produk kewangan atau perbankan yang diyakini menjalankan sistem Islam.

Bagi yang sengaja menggunakan produk kewangan konvensional untuk mendapat pulangan dalam bentuk interest dan faedah pula, segeralah bertaubat. Tinggalkan rezeki yang tidak halal lagi besar dosanya itu.

Sumber Haram.

Dalam Islam, harta haram boleh diklasifikasikan kepada dua keadaan iaitu :

Haram kerana zatnya : Contoh bagi keadaan ini adalah anjing, babi, bangkai dan arak serta yang bersangkutan dengannya seperti air yang memabukkan lainnya. Barang-barang ini dijatuhkan hukum haram dalam apa-apa pun keadaan. Hatta memperolehinya dengan cara yang halal.

Haram kerana cara memperolehinya : Harta ini diharamkan bukan kerana zatnya tetapi kerana sifatnya. Contohnya seperti harta curi, hasil penipuan, riba dan sebagainya. Walaupun asal keadaan harta itu adalah halal tetapi cara kita memperolehinya menjatuhkan ia kepada hukum haram. Ahli Fiqh meletakkan satu kaedah yang mudah iaitu :

تَغَيُّرُ أَسْبَابِ الِمْلِك يُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ تَغَيُّرِ الأَعْيَان

" Berubahnya cara memperoleh sesuatu barang itu dihukumkan kepada perubahan kepada barnag tersebut. "


Maksudnya, jika salah cara walaupun asalnya adalah halal maka barang itu akan bertukar haram.

Maka tidak syak lagi bahawa hasil riba adalah dari harta haram kategori kedua iaitu haram disebabkan cara memperolehinya. Asal wang itu adalah halal, maka perlulah kita menyalurkan kepada masyarakat umum dengan cara yang halal iaitu dengan sedekah dan sebagainya.

Ulama menyarankan kita menggunakan hasil riba untuk diinfaqkan kepada masyarakat awam bagi kepentingan umum. Contohnya adalah seperti pembinaan jalan raya, tandas awam, jambatan dan sebagainya.

Perkara-perkara yang mulia tidak boleh kita lakukan dengan menggunakan hasil riba. Contohnya seperti pembinaan masjid, membeli al-Quran dan membayar zakat.

Allah SWT menyebut di dalam surah al-Baqarah ayat 267 maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, infaqkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan enggan terhadapnya. Dan ketahuilah Allah Maha Kaya , Maha Terpuji."

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

((أن الله طيب لا يقبل ألا طيبا ))

" Allah itu sukakan kebaikan dan Dia tidak menerima melainkan kebaikan "

Jadi, daripada dua dalil ini, maka ulama tidak membenarkan kita menginfaqkan atau menyedekahkan hasil riba kepada pembinaan rumah Allah dan perkara-perkara yang menjurus langsung kepada pengibadatan yang khusus. Ini bagi menghormati dan membesarkan Tuhan Rabbul Jalil.

Berikut adalah beberapa kaedah membelanjakan hasil riba ;

1. Membuat jambatan.
2. Membuat jalan raya.
3. Tandas awam.
4. Selipar untuk digunakan di masjid atau kawasan-kawasan lain.
5. Sabun, penyapu dan segala peralatan yang sepertinya untuk kegunaan awam
6. Disalurkan kepada badan kebajikan dan NGO-NGO yang melakukan kerja-kerja kebajikan.


Segera buat keputusan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sama-sama menjauhi dosa riba!

Wednesday, November 24, 2010

RIBA : Sila Beri Perhatian!!


" Mak cik, tukarlah ke akaun bank yang jalankan sistem Perbankan Islam. Guna bank bukan sistem Islam ni berdosa."

" Uish, pandai-pandai kau nak mengajar aku pula! Apa bezanya, bank juga kan? Guna untuk simpan duit saja pun. Pinjam di bank tak Islam ni lagi murah kau tau. Nak-nak kalau beli rumah atau aset-aset yang besar. Kau tak berurusan sangat dengan bank tak payah nak tegur aku. Kau tau apa??"

Dialog sebegini sudah biasa kedengaran di kalangan masyarakat kita. Kurang mempercayai sesuatu sistem yang di'branding'kan dengan nama Islam.

Amat pelik situasi begini. Muslim tapi tidak menyokong produk-produk yang berlandaskan Quran dan Sunnah. Saya sangat sedih bahkan risau dengan keadaan yang berlaku di kalangan masyrakat kita hari ini.

Apa yang saya perhatikan, kita suka berfikiran singkat, tidak mahu berfikir panjang. Buat sesuatu perkara hanya dengan menghukum apa yang terzahir sahaja.

Sistem perbankan memang telah lama berakar-umbi di dalam masyarakat kita. Semua manusia sekarang ini majoritinya berurusan dan berurusniaga dengan bank. Banklah yang menjadi tempat kita menyimpan wang. Bank juga tempat kita mendapatkan pinjaman tika wang tidak mencukupi memenuhi hajat kita. Bank juga yang menjadi akar atau pasak kepada kestabilan ekonomi sesebuah negara. Kita hidup bersama bank. Dan bank memerlukan kita untuk membuat untung.

Namun, sedar ataupun tidak setiap urusniaga seorang muslim seperti kita, ada peraturan dan undang-undang yang perlu kita patuhi. Kita terikat dengan undang-undang syariah dan peraturan yang digariskan oleh Allah Taala di dalam Al-Quran.

Urus niaga kita dengan bank juga begitu.

Sebagai seorang muslim kita perlu peka samada apa yang kita lakukan itu betul atau tidak, menepati syara' atau tidak, halal atau haram. Semua itu perlu kita kaji dan teliti terlebih dahulu.

Saya amat pelik dengan rakyat Malaysia. Kita selalu mementingkan soal halal haram apa yang kita makan, namu kita selalu terlepas pandang akan perkara yang satu ini iaitu riba. Ingatlah bahawa riba juga adalah hasil yang masuk ke dalam sumber rezeki kita. Jadi, duit hasil riba yang kita gunakan itu sudah pasti akan juga masuk mendarah-daging di dalam tubuh badan kita semua.

Saya tidak mahu sentuh soal makan dan minum. Apa yang saya mahu bincangkan adalah urusan yang melibatkan soal riba. Yang paling jelas urusan dengan bank.

Saya sebutkan urusniaga dengan bank kerana urusan kita dengan organisasi tersebut masa kini selalu menjebakkan kita dengan dosa riba. Sesuatu yang diharamkan oleh Allah SWT di dalam Al-Quran. Samada kita sedar atau buat tidak sedar, kita telah membaluti diri dengan apa yang diharamkan oleh Allah SWT.

Sebab itu kita perlu tahu dan perlu berhati-hati.

Saya yakin masih ramai yang keliru bahkan tidak tahu apa yang dimaksudkan dengan riba.

Riba dari segi bahasa bermaksud pertambahan atau peningkatan.

Manakala, riba dari pengertian istilahnya pula adalah pertambahan pada hutang yang dikenakan oleh orang yang memberi pinjam kepada peminjam kerana kelewatan membayar kembali hutang ataupun memang syarat yang diletakkan untuk memberi pinjaman. ( Ulama Islam membahagikan riba kepada dua. Saya akan menerangkan riba jenis pertama di sini, iaitu yang melibatkan hutang. )

Menurut para fuqaha', riba mempunyai maksud yang sama dengan faedah atau juga dikenali sekarang dengan interest.

Contoh :

Si A : " Rahman, pinjamkan aku RM 200 boleh? Aku tengah terdesak ni, duit 'kering' langsung dalam poket ni. Nak makan pun tak cukup."

Si B : " Erm..boleh. Tapi ada syarat."

Si A : " Apa dia Man? Erm, aku tak kisahlah, nanti masuk gaji aku bayarlah semula "

Si B : " Ok, kalau kau nak pinjam syaratnya kau kena bayar semula pada aku RM 300. Kalau kau lewat bayar, aku kenakan bunga, setiap hari lewat kau kena bayar RM10
ok?"

Si A : " Ermm..oklah. Aku terdesak sangat ni.."

Tuan-puan boleh lihat di dalam dialog tadi. Mereka sebenarnya sedang melakukan dosa riba dalam transaksi hutang yang dilakukan. Pertambahan di dalam hutang itulah yang dinamakan riba.

Allah Taala menyebut di dalam Al-Quran :

ومآ ءاتيتم مّن رّبًالّيربوا فى أموال الناس فلا يربوا عند الله

" Dan ketahuilah bahawa sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah ( tidak mendatangkan kebaikan )..."


Di dalam surah Al-Baqarah, ayat 275 pula Allah berfirman, bermaksud :

"...padahal Allah telah menghalalkan jual-beli dan mengharamkan riba.."


Baiklah, kita sudah mengetahui maksud riba dalam bahasanya yang paling mudah. Sekarang mari kita lihat pula urusan di bank konvensional. Bagaimana boleh dikaitkan riba dengan urusan bank tersebut.

Kita teliti pula contoh ini :

Encik Razak membuat pinjaman di bank A2Z untuk pembelian rumah dengan kadar faedah 6.75%. Untuk tahun berikutnya kadar faedah yang dikenakan tidak diketahui oleh Encik Razak kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR ( Base Lending Rate ) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap.

Bila-bila masa kadar ini boleh meningkat beberapa peratus. Bayangkan jika kadar ini meningkat tinggi, tentu jumlah yang perlu dibayar Encik Razak juga akan melambung.

Riba telah berlaku di sini di mana Encik Razak meminjam daripada bank sejumlah wang dan perlu memulangkan kembali kepada bank dengan kadar yang lebih tinggi dari jumlah asalnya berdasarkan kadar faedah ( bunga ) yang ditetapkan oleh bank. Jika peratusan tersebut semakin meningkat, lagi teruk Encik Razak menanggung hutang bukan?

Ini contoh untuk pinjaman.

Lihat pula contoh simpanan :

Kamal menggunakan akaun semasa di Bank ABC dengan kadar faedah 0.25%. Duit yang disimpan oleh Kamal digunakan oleh bank untuk menjalankan aktiviti pelaburan untuk mendapatkan untung.

Setiap tahun, bank perlu memberi o.25% faedah ke dalam simpanan Kamal sebagai imbuhan bank menggunakan duit simpanan untuk pelaburan. Mudah kata bank seperti berhutang dengan Kamal dan memulangkan duit yang digunakan dengan lebihan sebagai ganjaran.

Tidak kira bank dalam keadaan untung mahupun rugi jumlah yang sama perlu dibayar oleh bank kepada Kamal. Keadaan ini seolah-olah menindas bank. Bayangkan dalam kerugian yang terpaksa ditanggung, bank juga perlu membayar sejumlah besar wang kepada pelanggannya. Keadaan inilah yang dilarang Islam.

Itu baru satu sudut, lihat pula dari sudut pelaburan tadi.

Bank tersebut akan memilih syarikat-syarikat tertentu yang dikenalpasti kukuh dan dapat memberi pulangan yang besar kepada bank. Jadi, jika syarikat arak ataupun judi dapat memberikan pulangan sebegitu besar, bank akan melabur di syarikat tersebut.

Di dalam Islam, segala urusniaga yang melibatkan arak dan judi adalah haram. Maka, hasil pelaburan di dalam syarikat judi dan arak itu juga adalah haram. Sudah tentu, duit yang kita simpan di dalam bank tadi dihukumkan sebagai haram. Sumber yang haram jika dimakan maka akan mendarah-daging dan mendatangkan keburukan kepada kita di dunia juga akhirat.

Fikir-fikirkanlah.

Baiklah, kita telah melihat contoh pengamalan riba dalam situasi kita di zaman ini. Sekarang, mari kita tinjau pula hukum terlibat dengan riba.

Di awal artikel ini lagi sudah banyak kali saya sebutkan bahawa riba adalah haram di sisi Islam. Dalil pengharamannya banyak boleh kita peroleh dari al-Quran dan As-Sunnah. Antara yang biasa dijadikan hujah adalah ayat yang saya tulis sebelum ini iaitu di dalam surah al-Baqarah ayat 275 hingga 279.

Al-Baqarah, 275 : Orang-orang yang memakan riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan syaitan kerana gila. Yang demikian itu kerana mereka berkata bahawa jual beli sama dengan riba. Padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Barang siapa mendapat peringatan dari Tuhannya, lalu dia berhenti, maka apa yang telah diperolehnya dahulu menjadi miliknya dan urusannya terserah kepada Allah. Barang siapa mengulangi, maka mereka itu penghuni neraka, mereka kekal di dalamnya.

Al-Baqarah, 276 : Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran dan bergelumang dosa.

Al-Baqarah, 277 : Sungguh, orang-orang yang beriman, mengerjakan kebajikan, melaksanakan solat dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati.

Al-Baqarah, 278 : Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba ( yang belum dipungut ) jika kamu orang yang beriman,

Al-Baqarah, 279 : Jika kamu tidak melaksanakannya maka umumkanlah perang dari Allah dan RasulNya. Tetapi jika kamu bertaubat, maka kamu berhak atas pokok hartamu. Kamu tidak berbuat zalim ( merugikan ) dan tidak dizalimi ( dirugikan ).

Ayat-ayat terakhir dalam surah Al-Baqarah ini amat panjang untuk dihuraikan kali ini. Insyaallah akan saya huraikan dalam post yang akan datang.

Baik, sekarang kita lihat dalil pengharaman dari Sunnah pula :

Hadis Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Mas'ud mengatakan :
"Allah melaknat orang yang memakan riba, orang yang memberi riba, saksinya dan jurutulisnya."

  • Berkata Rasullullah SAW dari Ibn Mas’ud ra: “Sesungguhnya riba walaupun lumayan (daripada sudut kuantiti) tetapi hasilnya ia akan membawa kepada sedikit dan papa.”

  • Berkata Ibn Abbas ra: “Tidak diterima daripada pemakan riba (yang menggunakan harta riba tadi) sedekahnya, hajinya, jihadnya dan persaudaraan."

  • Nabi bersabda: “Riba mempunyai 73 pintu, riba yang paling ringan (dosanya) seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya.” (Ibn Majah, 2/764; Al-Hakim, 2/37 Al-hakim: Sohih menurut syarat Al-Bukhari dan Muslim)

  • Nabi bersabda: “Satu dirham riba yang dimakan lelaki dalam keadaan ia mengetahuinya lebih buruk daripada berzina sebanyak 36 kali.” (Musnad Ahmad, 2/225; Ad-Dar Qutni, hlm 295; Albani mengatakan sohih dalam Ghayatul Maram fi Takhrij Hadis Al-Halal Wal Haram Lil Qaradhawi, hlm 103)

  • Berdasarkan hadis nabi: “Jauhilah tujuh dosa besar — syirik, sihir, membunuh tanpa hak, makan harta anak yatim, makan riba, lari daripada medan peperangan kerana takut dan menuduh perempuan yang suci dengan zina tanpa saksi adil.”

Lihatlah sendiri betapa besar kesalahan terlibat dengan riba. Adakah kita masih lagi berani untuk mendekatinya??

Fikir dan jawablah dengan pertimbangan iman dan akal kita semua.

Jadi, mengapa tidak bertukar kepada perkhidmatan perbankan Islam??

Anda takut rugi??

Atau takut disoal dan diseksa di akhirat nanti??

Pilih yang mana satu jadi impian anda..

Wednesday, November 11, 2009

Pengenalan Dinar Emas




Sejarah Pengenalan Dinar Emas dan Dirham Perak.


Kesohoran dinar sebagai satu matawang rasmi dalam sektor ekonomi sudah lama tersemat dalam lembaran sejarah Tamadun Islam. Dewasa ini komoditi ini seringkali dicanangkan sebagai instrumen alternatif dalam aktiviti ekonomi dunia semasa. Fakta ini adalah berasaskan kepada nilai intrinsik atau tersendiri yang diyakini boleh digunapakai secara lebih meluas serta konsisten. Namun demikian, masih ramai belum mengetahui dari mana dan bagaimana ia boleh berkembang sehingga menjadi satu matawang utama dalam kronologi ketamadunan Islam.

Sekiranya dinar emas mampu dinobatkan sebagai matawang utama pada ketika itu adalah tidak mustahil seandainya penggunaan komoditi ini boleh diperkenalkan semula sebagai matawang alternatif pada alaf baru ini. Barangkali slogan “Nothing Beats Gold, Zero Inflation in 1400 years“ adalah amat berketepatan dan bersesuaian dalam menyatakan hakikat tersebut. Terfikirkah anda semenjak zaman Nabi Muhammad S.A.W lagi kita tidak pernah mendengar serta mengalami keadaan inflasi. Tetapi pada hari ini ungkapan tersebut seringkali “menjelma“ sambil disulami atau lebih sinonim dengan kelesuan ekonomi sejagat. Kenapa semua ini boleh berlaku…jawapannya ialah matawang konvensional yang tersedia ada tidak berlandaskan pada sandaran emas secara mutlak. Apa yang berlaku pada hari ini ialah dunia menggunakan wang kertas yang rezabnya hanyalah dalam bentuk nisbah peratusan emas yang diperuntukkan dan bukannya instrumen itu sendiri yang memiliki nilai emas secara keseluruhannya. Justeru marilah kita mengimbas kembali keunggulan serta kegemilangan dinar emas semenjak bermulanya era ketamadunan Islam.

Masyarakat Arab Jahiliyyah pada ketika itu menggunakan dinar emas Heraclius Byzantine yang berasal daripada negeri Syam manakala dirham perak Sasaniyah pula dari Iraq. Tatkala itu mereka tidak mempunyai matawang tersendiri untuk melaksanakan urusniaga perniagaan dalam mahupun luar negara. Penggunaan kedua-dua matawang ini adalah bagi memudahkan urusniaga terutamanya pada masa yang melibatkan perdagangan utama di Syam pada musim panas manakala di Yaman pada musim sejuk. Namun demikian, keadaan mulai berubah apabila Nabi Muhammad S.A.W dipilih sebagai Rasul, dinar dan dirham telah dinaiktarafkan sebagai matawang rasmi urusniaga sektor ekonomi kerana terdapat keseragaman bagi tujuan memudahkan urusniaga. Ketika ini jugalah reka bentuk berunsur Islam mula menyusup dalam penempaan dinar serta dirham. Pada tahun 18 H atau 20 H, Saidina Omar r.a telah menambah pada dirham Sasaniyah beberapa elemen dengan tulisan khat Kufi seperti Bismillah, Bismillah Rabbi dan Alhamdullillah serta sesetengahnya Muhammad Rasulullah yang ditempa pada keliling gambar Kisra. Beliau turut menetapkan piawaian bahawa 10 dirham bersamaan 7 dinar dan ini kekal digunapakai sehingga kini. Satu dinar mempunyai 91.6% atau 22 karat seberat 4.25 gram manakala dirham ialah syiling perak seberat 2.975 gram.

Dalam rekaan ini ukiran pada permukaan matawang adalah rekabentuk Islam yang khusus tanpa wujudnya elemen-elemen Byzantine dan Parsi muncul pada tahun 76 H hasil cetusan idea Khalifah Abd al-Malik bin Marwan pada zaman Bani Umaiyyah. Senario ini turut dimangkinkan oleh perselisihan faham yang berlaku di antara baginda dengan Raja Rom. Pada ketika itu khalifah Abd Al-Malik bin Marwan telah diktiraf oleh Ibn Jarir al-Tabari dan Ibn al-Athir sebagai perintis menempa dinar dan dirham dalam unsur-unsur Islam.

Aplikasi dinar tidak hanya berlegar di bumi Arab tetapi melangkaui kepada ketamadunan Andalusia. Kegiatan perdagangan berkembang pesat selama 700 tahun di Andalusia telah memangkin penggunaan dinar emas serta perak sebagai matawang utama. Pada tahun 716 M, umat Islam Andalusia telah mula menempa dinar emas dengan ukiran bahasa Arab serta ditulis “Muhammad Rasulluah” disamping mencatatkan nama Andalusia iaitu tempat tempahan dinar berserta tahun diperbuat. Di belakang dinar emas ini turut diukir dengan tulisan Latin yang bersesuaian dengan kehidupan masyarakat Islam Andalusia pada ketika itu. Bukti sejarah juga menunjukkan bahawa setelah tamatnya pemerintahan Andalusia, masyarakat semasa pemerintahan Kristian masih meneruskan penggunaan dinar emas selama lebih 400 tahun. Dalam era moden ini, pada tahun 1992 dinar emas pertama Eropah kembali ditempah di Granada, Sepanyol yang sekaligus merupakan sesuatu peristiwa yang sungguh menarik.

Menurut analisa yang dibuat sepanjang kecemerlangannya dinar emas turut mengalami ketidaktentuan terhadap cabaran serta krisis semasa. Pada suatu ketika stok emas tidak mencukupi memandangkan siri peperangan semakin meruncing. Justeru perak dicampurkan tembaga menjadi matawang rasmi dan digunakan di Mesir serta Syam di bawah pentadbiran Bani Ayyub. Penggunaan dinar serta dirham terus bertahan aplikasinya pada masa keagungan kerajaan Othmaniah Turki (1299M-1924M). Pada hari ini, nama dinar serta dirham masih digunakan sebagai matawang rasmi di beberapa buah negara di Timur Tengah seperti dinar di Tunisia, Kuwait, Libya, Bahrain, Algeria, Jordan manakala dirham Di Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Maghribi.


Di Malaysia berkat pengalaman kelesuan ekonomi global pada 1997 dinar emas yang diperbuat daripada emas 9166 telah mula dikembalikan kegemilangan sebagai medium penyimpan nilai yang tinggi, stabil, sentiasa berpotensi untuk meningkat nilai serta komoditi yang paling selamat. Dalam konteks yang lebih luas dinar emas turut mampu dijadikan perantaraan urusniaga hartanah, gaji dan bonus pekerja, mahar dan hantaran perkahwinan, urusan haji dan umrah, zakat dan fitrah serta semua pembayaran perniagaan dalam dan luar negara bagi negara yang berminat. Ini memandangkan dinar emas mempunyai nilai intrinsik atau tersendiri yang diterimapakai oleh masyarakat dunia. Nilai emas adalah stabil dan meningkat dari semasa ke semasa berbanding matawang konvesional yang seringkali menjadi mangsa “serang hendap” para penyangak matawang antarabangsa bagi mengaut keuntungan mudah dan besar.


sumber : http://emasdinar.blogspot.com/2006/11/welcome-to-gold-dinar-info-selamat.html

Friday, September 18, 2009

Zakat Fitrah : Kewajipan Dan Kelebihannya






Kini kita telah berada di penghujung bulan yang paling mulia dan paling istimewa di antara bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan yang terkandung di dalamnya berbagai keberkatan hampir sahaja melabuhkan tirainya.

Sudahkah kita muhasabah diri kita pada penghujung Ramadhan ini??

Bagaimana keadaan iman dan hati kita sekarang?

Moga-moga jawapan yang bakal kita berikan tidak mengecewakan diri kita sendiri. Diharapkan Ramadhan kali ini sedikit sebanyak dapat mendidik diri, hati dan juga iman kita, Insyaallah.

Sedar atau tidak, bulan Ramadhan benar-benar menyediakan satu medan untuk kita memperelok diri dan iman, menambah-baik apa-apa yang perlu sebagai seorang hamba Allah di dunia ini dan menginsafi akan kekurangan saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik, yang miskin dan fakir.

Selain ibadah puasa yang disyariatkan di bulan ini, terdapat satu ibadah lagi yang tidak boleh kita ambil ringan iaitu zakat fitrah.

Kewajipan menunaikan zakat fitrah sudah pasti mempunyai hikmah dan kelebihan tersendiri kepada umat Islam khususnya.

Zakat Fitrah adalah kewajipan yang dikenakan ke atas setiap orang yang dikira masih mempunyai makanan yang mencukupi bagi dirinya dan juga tanggungannya di Aidilfitri. Kewajipan zakat fitrah terhadap setiap muslim dinyatakan oleh saidina Umar RA berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

" Sesungguhnya Rasullullah SAW mewajibkan zakat fitrah daripada muslim, baik hamba atau merdeka, lelaki atau perempuan, iaitu sebanyak segantang kurma atau gandum " ( Hadis riwayat Bukhari dan Muslim ).


Dalam hadis yang lain diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim, dari Abu Said Al-Khudry bermaksud :

" Ketika Rasullullah SAW berada bersama kami, kami mengeluarkan zakat fitrah untuk setiap anak kecil, orang dewasa, merdeka atau hamba sebanyak segantang makanan samada berupa keju, kurma, gandum atau anggur kering. "


Kita dapat melihat kelebihan atau faedah zakat fitrah ke atas setiap individu muslim dari 4 sudut iaitu sudut rohani, ibadah masyarakat dan ekonomi.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut rohani :

- Sesungguhnya zakat fitrah mampu mendidik hati dan menjauhkan orang yang menunaikannya daripada bersifat dengan sifat-sifat keji seperti kedekut dan mementingkan diri sendiri.

- Sabda Rasullullah SAW yang diriwayatkan oleh Ibnu Abas bermaksud : " Diwajibkan oleh Rasullullah SAW bahawa zakat fitrah membersihkan bagi orang yang berpuasa dan memberi makan bagi orang miskin. "


Kelebihan zakat fitrah dari sudut ibadah :

- Zakat fitrah boleh menampung ibadah puasa yang mungkin berkurangan disebabkan kelakuan kita ketika berpuasa dan juga boleh menyucikan orang-orang yang berpuasa dari sifat lagha dan bercakap kotor atau keji di bulan Ramadhan.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut masyarakat :

- Kefarduan zakat fitrah akan memberi rasa kebersamaan orang yang berpuasa terhadap saudara-saudaranya yang fakir lagi miskin. Rasa kebersamaan ini lahir apabila golongan yang fakir lagi miskin ini mampu menikmati kemeriahan hari raya sama seperti saudara-saudara mereka yang lebih berkemampuan manakala golongan pembayar zakat dapat merasa ketenangan dengan kegembiraan yang terpancar dari raut wajah golongan yang fakir ini.

- Selain itu, kefarduan ini sudah pasti akan menyucikan masyarakat daripada sifat-sifat tercela seperti hasad dengki, iri hati, dendam-mendendami, tamak, kedekut, ujub, riak dan takabbur. Akhirnya akan lahirlah keharmonian, kesejahteraan, keamanan dan ketenangan di dalam masyarakat seluruhnya.

Kelebihan zakat fitrah dari sudut ekonomi :

- Apa lagi yang dapat dikatakan tentang keadaan ekonomi apabila permintaan dalam pasaran meningkat, sudah tentu aktiviti ekonomi akan bertambah rancak dan ini sudah tentu mampu meningkatkan pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan terhadap negara khususnya.
Disamping dapat membantu golongan fakir miskin memenuhi keperluan di Aidilfitri, para peniaga juga dapat kelebihan daripada kefarduan zakat fitrah ini.

- Ekonomi negara Islam sudah pasti akan berada di tahap yang baik dan dapat meneruskan momentum kenaikannya sepanjang bulan Ramadhan.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa zakat fitrah adalah antara unit terpenting dalam ekonomi Islam yang mampu memberi banyak kelebihan kepada masyarakat dan negara khususnya dari sudut ekonomi selain merupakan terapi rohani dan jasmani kepada masyarakat sekaliannya.

Anda sudah tunaikannya??

" Barang siapa menunaikan zakat fitrah sebelum solat hari raya maka zakat itu dterima dan barangsiapa yang membayar selepas solat, zakat itu sebagai sedekah biasa. " ( Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah) .

Tunaikan sebelum esok! JOM..JOM..bayar zakat fitrah!


Rujukan :

1- Durus Iqtisodiah min Ramadhan, Dr Asyraf Muhammad Dawwabah
2- Fiqh Al-Manhaji
3- Berita Harian