Di waktu-waktu kegawatan ekonomi ini, tentu ramai yang mencari-cari jalan untuk menambah pendapatan masing-masing. Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menyebabkan banyak masalah berlaku. Harga barangan meningkat naik, ada juga yang dibuang kerja oleh majikan masing-masing, perbelanjaan keluarga terus meningkat, hutang- piutang makin membusut dan bermacam lagi masalah yang dihadapi oleh kebanyakan daripada kita.
Di celah-celah kegawatan ini, ramai keluar mencari penyelesaian dengan memilih jalan perniagaan bagi menambah sumber pendapatan. Ada yang berniaga nasi lemak, menjual kuih-muih dan yang lebih terkehadapan pula memulakan perniagaan maya mereka di internet.
Bertepatanlah dengan apa yang disabdakan oleh nabi junjungan besar Muhammad SAW bahawa 9 daripada 10 sumber rezeki adalah dari perniagaan. Tentu sahaja pulangannya sedikit sebanyak membantu menstabilkan kewangan peribadi dan keluarga.
Dilema Sebahagian Kita
Sesetengah daripada kita kadang-kadang berada dalam dilema apabila hendak memulakan perniagaan ataupun mungkin setelah mula berniaga. Dilema berkenaan keuntungan yang diperoleh hasil dari perniagaan yang dijalankan.
Boleh ke tidak mengambil untung??
Apa hukumnya??
Bukankah untung itu pertambahan, riba juga pertambahan, jadi keduanya adalah sama??
Ini antara persoalan-persoalan yang selalu bermain di minda sebahagian daripada kita. Masalah yang timbul akibat ketidakfahaman yang hakiki berkaitan dengan hukum riba dan keharusan berjual beli di sisi Islam. Bahkan ada yang menanggap berjual-beli itu sama sahaja seperti riba
( riba pada masa sekarang mungkin lebih kita kenali dengan istilah faedah) .
Allah SWT ada menyebut hal ini di dalam Firman-Nya yang bermaksud :
" ....yang demikian ialah disebabkan mereka menyatakan bahawa sesungguhnya ( untung ) berjual-beli itu sama sahaja seperti riba."-surah Al-Baqarah, ayat 275.
Sebenarnya untung daripada perniagaan itu tidak sama dengan riba. Untung dari perniagaan adalah halal di sisi Allah SWT manakala riba pula amat jelas keharamannya di sisi Allah SWT. Sepatutnya perkara ini tidak menjadi kekeliruan dikalangan kita sebagai umat Islam. Bahkan Allah SWT telah menjelaskan tentang perbezaan untung dan riba. Firman Allah Taala yang bermaksud :
" Padahal Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba." - surah Al-Baqarah, ayat 275.
Jelas di sini bahawa untung yang kita peroleh daripada perniagaan itu adalah halal di sisi Allah Taala.
Perbezaan Untung Dengan Riba
1) Apa yang membezakan untung dengan riba adalah keuntungan yang kita perolehi itu adalah hasil pertambahan pada modal daripada jualalan barang-barang kita ( halal ) manakala riba pula adalah pertambahan hasil daripada kelewatan membayar hutang kepada seseorang ( haram ). Amalan mengambil lebihan jumlah pada hutang adalah amalan riba yang diterangkan Allah SWT di dalam Al-Quran yang mana diamalkan pada zaman Jahilliyah. Jadi sudah jelas pengharamannya.
Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah seperti yang tertera di atas telah menjelaskan bahawa jual beli itu amat digalakkan dan halal hukumnya. Allah SWT berfirman lagi di dalam surah An-Nisa ayat 29 yang bermaksud :
" Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil ( tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar suka sama suka di antara kamu."
Bertambah jelaslah kepada kita bahawa untung dari jual beli itu adalah amat-amat dibenarkan dalam Islam manakala riba pula diperolehi secara batil iaitu tidak benar dan tidak adil kepada kedua pihak ( penjual dan pembeli).
2) Hasil keuntungan perniagaan adalah pertambahan harta yang benar dan nyata dari pertukaran di antara dua benda yang berbeza dan ianya bermanfaat untuk peniaga dan penjual.
Sebagai contoh, Abu membeli roti dengan wang berjumlah RM 1.20 dari Ahmad. Abu dapat faedah dari beliannya iaitu roti untuk dimakan manakala Ahmad pula dapat faedah dari penjualan roti tersebut dalam bentuk untung. Jadi keduanya mendapat manfaat secara adil dan saksama.
Masih ingat firman Allah dalam surah An-Nisa' sebelum ini? Untung dari perniagaan itu adalah dibolehkan.
Berbeza pula dengan riba di mana hakikatnya ia bukanlah hasil pertukaran dua benda berbeza. Orang berhutang meminjam wang dan perlu digantikan semula dengan wang. Hutang perlu dibayar dalam bentuk yang sama dan jumlah yang sama seperti mula-mula ianya dipinjam. Tidak boleh ada pertambahan, pengurangan dan tidak boleh ada perbezaan jumlah dari asalnya. Hasil dari lebihan hutang yang dikenali sebagai riba atau faedah ( interest ) ini jelas hanya menguntungkan sebelah pihak dan menindas satu pihak yang lain.
Ini bermakna orang yang memakan riba telah mengambil harta orang lain secara batil dan ini adalah dilarang di dalam Islam.
Saya berikan contoh di sini, Ali meminjam wang sebanyak RM 10 000 dari bank bagi memulakan perbelanjaannya. Setelah cukup tempoh, Ali tidak mampu membayar kembali jumlah yang sama. Dia terlewat untuk membayar pinjamannya dan pada tarikh dia membayar kembali pinjamannya dia terpaksa membayar dengan jumlah RM 16 580. Perniagaannya belum benar-benar kukuh pada waktu itu.
Lihat perbezaannya, keuntungan perniagaan mendatangkan keadilan kepada kedua belah pihak manakala riba pula menindas satu pihak dan menguntungkan hanya satu pihak yang lain.
3) Orang yang berniaga berdepan dengan berbagai risiko dalam perniagaannya. Risiko harga pasaran yang tidak menentu, ada jatuh dan naik dan juga risiko kemungkinan kerosakan pada barangannya kerana tamat tempoh dan sebagainya. Risiko-risiko ini memerlukan kepada para peniaga untuk menjana keuntungan dari jualannya bagi menghadapi keadaan-keadaan ini dan bagi menampung urusan pentadbirannya.
Orang yang menerima riba pula tidak berdepan dengan risiko-risiko seperti yang dihadapi golongan peniaga. Mereka memberi hutang, memberi pinjam dalam jumlah yang tertentu dan jumlah ini tidak ada expired date, kekurangan dan sebagainya. Jika diberi pinjam RM 100 maka jumlah tersebut adalah 200% mustahil untuk berubah. Maka sudah tentu tidak layak untuk mereka meminta jumlah lebih daripada yang diberi kerana mereka langsung tidak berdepan risiko seperti para peniaga.
4) Keuntungan dari perniagaan adalah tidak menentu. Mungkin peniaga dapat untung sepanjang tahun, atau setiap kali berniaga. Mungkin juga hanya dapat untung sekali sahaja sepanjang perniagaannya untuk tahun tersebut dan jumlahnya pula adalah tidak menentu. Kadang-kadang banyak, kadang-kadang pula sedikit bergantung kepada rezeki yang diperolehi.
Berbeza dengan riba, hasilnya adalah tetap. Selagi peminjam tidak boleh membayar selagi itulah faedah akan dikenakan. Jika dalam masa sepuluh tahun dia tidak mampu membayar, maka selama sepuluh tahun itulah faedah dikenakan dan jumlahnya tetap sepanjang tempoh tersebut. Amat jelas ianya menindas peminjam yang berkemungkinan dibebani berbagai masalah.
Sebagai kesimpulannya, untung yang diperoleh daripada perniagaan adalah dibenarkan di sisi Islam dan halal hukumnya. Manakala hasil riba pula termaktub jelas di dalam Al-Quran akan keharamannya. Jelas ianya memudaratkan ummah.
Sungguh cantik hukum yang disyariatkan Allah kepada hamba-Nya bukan?? Allah tidak mengharamkan sesuatu itu sehinggalah ianya jelas mendatangkan kemudaratan, kesusahan dan beban buat hambanya. Begitu juga segala apa yang dihalalkan buat kita semua adalah sesuatu yang cukup baik, bermanfaat dan bersifat adil kepada kita.
Jadi, kepada yang berteka-teki sebelum ini dan bersoal jawab di dalam hati adakah untung itu sama dengan riba maka anda telah temui jawapannya di sini, Insyaallah. Untung adalah berbeza daripada riba. Jadi jangan takut untuk menjana pendapatan dari perniagaan anda. Keuntungan anda adalah keuntungan buat Ummah!
Jihad Ekonomi, ke arah memperkasa Ummah!
Rujukan :
1) Fikr Masrafi Fil Islami - Dr. Mahmood Syuwaiat, Pensyarah Jabatan Ekonomi & Perbankan Islam Universiti Yarmouk, Jordan.
2) www.zaharuddin.net
3) http://islamictazkirah.blogspot.com/2009/03/beza-antara-untung-dan-riba.html