Pages

Subscribe:

Monday, December 15, 2008

Masa Depan Ekonomi Dunia



Melihat kepada masalah ekonomi yang melanda dunia hari ini, ramai bimbang akan kesannya pada masa- masa yang akan datang. Masalah yang berpunca di negara kuasa besar ekonomi, Amerika Syarikat telah meniup wabak kegawatan ekonomi ke seluruh pelusuk dunia.

Kebanyakan negara di dunia ini terkena tempiasnya. Malaysia juga tidak terkecuali. Semua bursa saham negara-negara di dunia ini jatuh merudum. Para pelabur risau akan keadaan yang berlaku lalu menarik pelaburan mereka. Para pemimpin pening kepala. Para pelabur pusing mata. Para rakyat yang akhirnya makin menderita.

Umum ketahui bahawa segala masalah ekonomi ini adalah berpunca daripada pengaplikasian sistem ekonomi yang nyata tidak lagi praktikal untuk diguna pakai oleh manusia.

Jika kita imbau satu masa dahulu, kita melihat sebuah kuasa besar mengetuai dan mendepani segala perkara. Sebelum meletusnya perang dunia pertama, Soviet Union nyata hebat dan ampuh kuasanya. Pengaplikasian sistem ekonomi Sosialis nampak mampu membawa dan memacu negara ini mendepani segalanya di dunia, ditambah lagi kawasannya yang luas merangkumi Timur dunia hinggalah ke Barat.

Namun akhirnya, negara hebat ini juga jatuh, sistem ekonomi sosialis mereka juga hancur. Terbukti bahawa sistem ini tidak sesuai di amalkan. Yang masih lagi mengamalkan sistem ini hanyalah beberapa buah negara sahaja kini. Itupun telah ditokok tambah dan disiat buang beberapa komponen.

Sistem ekonomi sosialisme mengaplikasikan kaedah memilik negarakan segala harta dan kekayaan milik rakyatnya. Segala urusan ekonomi adalah urusan negara. Setiap barang yang hendak dikeluarkan dan dipasarkan tidak boleh lari dari dasar negara. Yang mendapat pengiktirafan sahaja dibolehkan. Cara ini amat tidak produktif dan tidak sesuai diamalkan. Manusia juga punya hak untuk memiliki harta. Siapa yang mahu sistem seperti ini diamalkan? Kekurangannya, ia tidak mengiktiraf hak individu. Maka ia hancur.

Selepas perang dunia kedua, Amerika Syarikat mendaki tangga untuk menjadi kuasa besar dunia. Maka negara tersebut mula mendahului segala perkara dari bidang sains hinggalah ekonomi. Mereka mengguna pakai sistem ekonomi kapitalis yang mengamalkan sistem pasaran bebas lagi terbuka. Pengeluar bebas mengeluarkan apa sahaja jenis barangan. Harga pula ditentukan oleh satu teori yang digelar teori ' Invisible Hand' atau tangan tersembunyi.

Teori ini berfungsi mengikut jumlah penawaran dan permintaan terhadap sesuatu barangan. Maka hasilnya penindasan berlaku terhadap golongan miskin. Masyarakat yang miskin terus miskin, yang kaya berlonggok harta benda. Sistem yang tidak adil kepada manusia. Kerajaan pula langsung tidak memainkan peranan dalam aktiviti ekonomi. Sistem kewangan dan perbankannya pula mengamalkan riba. Menjual beli duit. Setiap pinjaman perlu dilangsaikan bersama dengan faedah yang sentiasa bertambah.

Akhirnya kita lihat sekarang, sistem ini juga bakal menemui penghujungnya. Ia tidak sesuai lagi diamalkan. Amerika Syarikat sendiri yang menguasai ekonomi dunia, yang gagah dengan matawang dolarnya hanya mampu berputih mata dan hanya mampu mengeluh melihat lebih trilion dolar lebur dalam pasaran saham mereka. Kalut seketika pentadbiran negara kuasa besar ini. Walaupun bertrilion dolar disuntik bagi membantu syarikat-syarikat kewangan dan institusi perbankan mendepani masalah ini, ianya masih lagi terus merebak.

Maka ramailah pakar-pakar ekonomi dan pemimpin-pemimpin dunia meramalkan kejatuhan sistem ekonomi kapitalis ini.

" Ekonomi Amerika Syarikat sedang sakit tenat sekarang ini...," bicara pemimpin Amerika Latin, Huga Chavez dan Evo Morales.

" ....krisis ekonomi menunjukkan berakhirnya Amerika sebagai kuasa besar kewangan...," itu kata Menteri Kewangan Itali berkenaan masalah yang berlaku kini.

Untuk lebih terperinci lagi, anda semua boleh membaca artikel oleh Francis Fukuyama bertajuk The Fall of America, Inc. Untuk membaca sila klik di sini.

Sebenarnya, para pelabur semuanya tidak yakin lagi dengan sistem kewangan dan perbankan Amerika. Sistem yang mengamalkan riba. Sebab itu Islam sejak azali lagi mengharamkan riba. Masalah sub-prima, yang merupakan kunci kepada masalah ekonomi sekarang berpunca disebabkan faedah yang dikenakan ke atas pinjaman yang semakin berganda-ganda dan menyulitkan peminjam untuk membayar semula.

Sekarang masyarakat dunia sibuk mengkaji dan mencari sebuah sistem baru yang lebih kukuh dan lebih praktikal. Hinggakan pernah seorang paderi menyeru rakyat Amerika mengkaji al-Quran dan meneliti setiap ayat-ayatnya. Lebih-lebih lagi ayat tentang ekonomi.

Islam tidak seperti agama-agama yang lain. Islam adalah agama yang merangkumi segala perkara, syumul. Ekonomi yang berteraskan Islam adalah yang terbaik untuk dipraktikkan manusia hakikatnya.

Islam mengiktiraf semua hak, hak memilik bagi individu, masyarakat dan negara. Ekonomi Islam tidak seperti ekonomi Sosialis yang hanya mengiktiraf hak milik negara sahaja. Begitu juga sistem Ekonomi Islam tidak mengamalkan riba atau faedah dalam institusi kewangan dan perbankan. Ia juga tidak menindas mana-mana pihak malah memberi jaminan sosial kepada golongan miskin dan fakir melalui komponen zakat, sedekah, wakaf dan sebagainya.

Alhamdulillah, sekarang ini banyak negara yang semakin berminat kepada sistem Ekonomi Islam lebih-lebih lagi bidang kewangan dan perbankan Islam. Yang terbaru Hong Kong juga mahu mempraktikkan sistem ini dan mahu menjadi salah sebuah negara pemain kewangan Islam. Namun, segala ini haruslah dipantau oleh pakar-pakar penasihat syariah yang berkaliber dan berdaya saing untuk memastikan segala sistem dan perlaksaan bertepatan dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Jika hanya saduran dan nama semata maka lihatlah kehancurannya.

Masa depan ekonomi dunia sebenarnya amat cerah jika semua berubah kepada sistem Ekonomi berteraskan Al-Quran dan Sunnah ini. Tidak perlu lagi mencari dan mencipta sebuah sistem baru. Cukuplah Ekonomi Islam sebagai pengganti.

Bersediakah kita??????