Pages

Subscribe:
Showing posts with label Riba. Show all posts
Showing posts with label Riba. Show all posts

Wednesday, February 23, 2011

Penyaluran Harta Tidak Syariah


Merujuk kepada artikel saya yang lepas berkenaan dengan cara membelanjakan harta hasil Riba, saya ingin memberi tambahan kepada isi artikel tersebut. Tambahan ini adalah hasil muzakarah Ahli Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23-25 Jun 2009.
Antara lain, pada tarikh tersebut, Majlis Fatwa Kebangsaan telah membincangkan Hukum Penyaluran Harta Tidak Patuh Syariah ke Baitulmal dan Institusi Islam yang lain.

Keputusan Muzakarah adalah seperti berikut :

Di dalam Islam harta-harta yang diperolehi dengan cara yang tidak mematuhi
syariah seperti riba, gharar, perjudian, penipuan, rompakan, rampasan, rasuah dan seumpamanya adalah haram dan tidak boleh digunakan untuk manafaat dan kepentingan diri sendiri serta perlu dibersihkan melalui kaedah-kaedah berikut:
  1. Diserah kepada Baitulmal untuk maslahah-maslahah umum umat Islam seperti membiayai pembinaan atau penyelenggaraan jambatan, jalan, tandas dan seumpamanya;
  2. Diserah kepada golongan fakir miskin; atau
  3. Jika harta tersebut merupakan harta rompak, curi dan seumpamanya, maka harta tersebut perlu diserahkan semula kepada pemiliknya. Jika pemiliknya telah meninggal dunia atau tidak dapat dijumpai, maka harta tersebut mestilah dikembalikan kepada ahli warisnya. Sekiranya tidak dapat diketahui pemilik atau ahli waris pemilik, maka harta tersebut hendaklah diserahkan kepada Baitulmal.

Keterangan/Hujah:
  1. Imam al-Nawawi di dalam kaedah penyelesaian harta haram telah menukilkan pandangan al-Ghazali yang menyatakan jika seseorang lelaki itu memiliki harta haram dan hendak bertaubat serta melepaskan tanggungan daripada harta haram tersebut, maka harta tersebut mestilah diserahkan kepada pemiliknya atau wakil pemilik tersebut. Sekiranya pemilik tersebut telah meninggal dunia, berkewajipan untuk menyerahkan kepada ahli warisnya. Sekiranya pemilik harta tersebut tidak dapat dikenal pasti, maka harta tersebut mestilah diserah (dibelanjakan) kepada maslahah-maslahah umum umat Islam seperti (membiayai pembinaan atau menyelenggara) jambatan, masjid-masjid, dan seumpamanya yang bersangkut-paut dengan urusan orang Islam. Sekiranya tidak digunakan untuk tujuan kemaslahatan umat Islam, harta haram tersebut diserahkan kepada golongan fakir.
  2. Sheikh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi ketika ditanya bagaimana mengurus faedah yang terkumpul di dalam bank konvensional, sama ada hanya perlu dibiarkan sahaja berada di dalam bank konvensional tersebut atau sebaliknya, telah menyatakan bahawa:
a. Faedah-faedah bank yang terkumpul hukumnya adalah sama seperti harta- harta lain yang diperolehi melalui jalan yang haram.
b. Tidak harus seseorang menggunakannya (wang faedah) tersebut kerana tindakan menggunakan wang tersebut adalah termasuk di dalam kategori memakan harta yang diperolehi melalui jalan kezaliman. Tidak boleh dimanfaatkan melalui jalan makanan, minuman, tempat tinggal, membayar cukai dan seumpamanya.
c. Meninggalkan wang faedah itu di dalam bank konvensional adalah haram secara muktamad. Dasar ini telah dipersetujui di dalam Muktamar Bank Islam Kedua di Kuwait oleh ulama’ secara ijma’. Tindakan tersebut hanya akan mengukuhkan lagi ekonomi bank riba dan dikira sebagai menolong dalam urusan maksiat. Menolong perkara yang haram adalah haram.

Diharapkan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan ini dapat memberikan kita gambaran yang lebih jelas bagaimana sepatutnya kita lakukan terhadap harta-harta dari hasil yang tidak Syariah.

Semoga keberkatan Allah yang kita harapkan itu menatijahkan juga keredhaan daripadaNya, Insyaallah.

Berhati-hatilah dalam melakukan aktiviti harian kita terutamanya dalam aktiviti melibatkan ekonomi dan kewangan. Moga Allah lindungi kita selalu.


Rujukan :

http://www.e-fatwa.gov.my/fatwa-kebangsaan/penyaluran-harta-tidak-patuh- syariah-ke-baitulmal-dan-institusi-islam-lain

Thursday, November 25, 2010

Cara Membelanjakan Hasil Riba ( Interest, Faedah Bank Dan Hasil Pelaburan Konvensional )

Artikel-artikel sebelum ini telah banyak saya sentuh isu berkenaan dengan riba. Saya telah nyatakan serba sedikit takrif, dalil pengharaman dan perbezaannya dengan jual beli. Saya juga ada menyebut tentang aplikasi riba di bank dalam entry saya bertajuk " Riba : Masih Ramai Tidak Beri Perhatian."

Kali ini saya hanya mahu mencatat ringkas berkenaan dengan cara menggunakan hasil riba yang kita terima contohnya interest/ faedah dari bank-bank konvensional yang kita langgani.

Kita telah tahu amaran-amaran keras dari Al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi SAW berkenaan pengharamannya dan dosa yang akan menimpa pemakan riba. Tapi kita belum tahu apa yang perlu kita lakukan terhadap harta-harta atau hasil riba yang kita perolehi.

Adakah kita perlu biarkan sahaja di dalam bank??

Atau kita keluarkan dan buang duit hasil riba itu ke dalam sungai??

Atau kita bakar sahaja??

Hendak diguna sudah tentu haram dan berdosa. Jadi bagaimana??




Insyaallah di dalam post ini saya akan terangkan dan buka jalan penyelesaian kepada anda sekalian.

Untuk mereka yang baru sedar akan keterlibatan mereka dengan dosa riba dan takut lagi gerun akan amaran-amaran keras Allah SWT, bertindaklah segera! Mungkin sudah tiba masanya anda bertukar kepada produk kewangan atau perbankan yang diyakini menjalankan sistem Islam.

Bagi yang sengaja menggunakan produk kewangan konvensional untuk mendapat pulangan dalam bentuk interest dan faedah pula, segeralah bertaubat. Tinggalkan rezeki yang tidak halal lagi besar dosanya itu.

Sumber Haram.

Dalam Islam, harta haram boleh diklasifikasikan kepada dua keadaan iaitu :

Haram kerana zatnya : Contoh bagi keadaan ini adalah anjing, babi, bangkai dan arak serta yang bersangkutan dengannya seperti air yang memabukkan lainnya. Barang-barang ini dijatuhkan hukum haram dalam apa-apa pun keadaan. Hatta memperolehinya dengan cara yang halal.

Haram kerana cara memperolehinya : Harta ini diharamkan bukan kerana zatnya tetapi kerana sifatnya. Contohnya seperti harta curi, hasil penipuan, riba dan sebagainya. Walaupun asal keadaan harta itu adalah halal tetapi cara kita memperolehinya menjatuhkan ia kepada hukum haram. Ahli Fiqh meletakkan satu kaedah yang mudah iaitu :

تَغَيُّرُ أَسْبَابِ الِمْلِك يُنَزَّلُ مَنْزِلَةَ تَغَيُّرِ الأَعْيَان

" Berubahnya cara memperoleh sesuatu barang itu dihukumkan kepada perubahan kepada barnag tersebut. "


Maksudnya, jika salah cara walaupun asalnya adalah halal maka barang itu akan bertukar haram.

Maka tidak syak lagi bahawa hasil riba adalah dari harta haram kategori kedua iaitu haram disebabkan cara memperolehinya. Asal wang itu adalah halal, maka perlulah kita menyalurkan kepada masyarakat umum dengan cara yang halal iaitu dengan sedekah dan sebagainya.

Ulama menyarankan kita menggunakan hasil riba untuk diinfaqkan kepada masyarakat awam bagi kepentingan umum. Contohnya adalah seperti pembinaan jalan raya, tandas awam, jambatan dan sebagainya.

Perkara-perkara yang mulia tidak boleh kita lakukan dengan menggunakan hasil riba. Contohnya seperti pembinaan masjid, membeli al-Quran dan membayar zakat.

Allah SWT menyebut di dalam surah al-Baqarah ayat 267 maksudnya :

"Wahai orang-orang yang beriman, infaqkanlah sebahagian dari hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang kami keluarkan dari bumi untukmu. Janganlah kamu memilih yang buruk untuk kamu keluarkan, padahal kamu sendiri tidak mahu mengambilnya melainkan dengan enggan terhadapnya. Dan ketahuilah Allah Maha Kaya , Maha Terpuji."

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda :

((أن الله طيب لا يقبل ألا طيبا ))

" Allah itu sukakan kebaikan dan Dia tidak menerima melainkan kebaikan "

Jadi, daripada dua dalil ini, maka ulama tidak membenarkan kita menginfaqkan atau menyedekahkan hasil riba kepada pembinaan rumah Allah dan perkara-perkara yang menjurus langsung kepada pengibadatan yang khusus. Ini bagi menghormati dan membesarkan Tuhan Rabbul Jalil.

Berikut adalah beberapa kaedah membelanjakan hasil riba ;

1. Membuat jambatan.
2. Membuat jalan raya.
3. Tandas awam.
4. Selipar untuk digunakan di masjid atau kawasan-kawasan lain.
5. Sabun, penyapu dan segala peralatan yang sepertinya untuk kegunaan awam
6. Disalurkan kepada badan kebajikan dan NGO-NGO yang melakukan kerja-kerja kebajikan.


Segera buat keputusan untuk kebaikan dunia dan akhirat.

Sama-sama menjauhi dosa riba!

Thursday, March 26, 2009

Perbezaan Antara Untung Peniagaan Dengan Riba





Di waktu-waktu kegawatan ekonomi ini, tentu ramai yang mencari-cari jalan untuk menambah pendapatan masing-masing. Keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu menyebabkan banyak masalah berlaku. Harga barangan meningkat naik, ada juga yang dibuang kerja oleh majikan masing-masing, perbelanjaan keluarga terus meningkat, hutang- piutang makin membusut dan bermacam lagi masalah yang dihadapi oleh kebanyakan daripada kita.

Di celah-celah kegawatan ini, ramai keluar mencari penyelesaian dengan memilih jalan perniagaan bagi menambah sumber pendapatan. Ada yang berniaga nasi lemak, menjual kuih-muih dan yang lebih terkehadapan pula memulakan perniagaan maya mereka di internet.

Bertepatanlah dengan apa yang disabdakan oleh nabi junjungan besar Muhammad SAW bahawa 9 daripada 10 sumber rezeki adalah dari perniagaan. Tentu sahaja pulangannya sedikit sebanyak membantu menstabilkan kewangan peribadi dan keluarga.

Dilema Sebahagian Kita

Sesetengah daripada kita kadang-kadang berada dalam dilema apabila hendak memulakan perniagaan ataupun mungkin setelah mula berniaga. Dilema berkenaan keuntungan yang diperoleh hasil dari perniagaan yang dijalankan.

Boleh ke tidak mengambil untung??

Apa hukumnya??

Bukankah untung itu pertambahan, riba juga pertambahan, jadi keduanya adalah sama??

Ini antara persoalan-persoalan yang selalu bermain di minda sebahagian daripada kita. Masalah yang timbul akibat ketidakfahaman yang hakiki berkaitan dengan hukum riba dan keharusan berjual beli di sisi Islam. Bahkan ada yang menanggap berjual-beli itu sama sahaja seperti riba
( riba pada masa sekarang mungkin lebih kita kenali dengan istilah faedah) .

Allah SWT ada menyebut hal ini di dalam Firman-Nya yang bermaksud :

" ....yang demikian ialah disebabkan mereka menyatakan bahawa sesungguhnya ( untung ) berjual-beli itu sama sahaja seperti riba."-surah Al-Baqarah, ayat 275.


Sebenarnya untung daripada perniagaan itu tidak sama dengan riba. Untung dari perniagaan adalah halal di sisi Allah SWT manakala riba pula amat jelas keharamannya di sisi Allah SWT. Sepatutnya perkara ini tidak menjadi kekeliruan dikalangan kita sebagai umat Islam. Bahkan Allah SWT telah menjelaskan tentang perbezaan untung dan riba. Firman Allah Taala yang bermaksud :

" Padahal Allah menghalalkan jual beli (berniaga) dan mengharamkan riba." - surah Al-Baqarah, ayat 275.


Jelas di sini bahawa untung yang kita peroleh daripada perniagaan itu adalah halal di sisi Allah Taala.

Perbezaan Untung Dengan Riba


1) Apa yang membezakan untung dengan riba adalah keuntungan yang kita perolehi itu adalah hasil pertambahan pada modal daripada jualalan barang-barang kita ( halal ) manakala riba pula adalah pertambahan hasil daripada kelewatan membayar hutang kepada seseorang ( haram ). Amalan mengambil lebihan jumlah pada hutang adalah amalan riba yang diterangkan Allah SWT di dalam Al-Quran yang mana diamalkan pada zaman Jahilliyah. Jadi sudah jelas pengharamannya.

Firman Allah SWT di dalam surah Al-Baqarah seperti yang tertera di atas telah menjelaskan bahawa jual beli itu amat digalakkan dan halal hukumnya. Allah SWT berfirman lagi di dalam surah An-Nisa ayat 29 yang bermaksud :

" Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu saling memakan harta sesamamu dengan jalan yang batil ( tidak benar), kecuali dalam perdagangan yang berlaku atas dasar suka sama suka di antara kamu."


Bertambah jelaslah kepada kita bahawa untung dari jual beli itu adalah amat-amat dibenarkan dalam Islam manakala riba pula diperolehi secara batil iaitu tidak benar dan tidak adil kepada kedua pihak ( penjual dan pembeli).

2) Hasil keuntungan perniagaan adalah pertambahan harta yang benar dan nyata dari pertukaran di antara dua benda yang berbeza dan ianya bermanfaat untuk peniaga dan penjual.

Sebagai contoh, Abu membeli roti dengan wang berjumlah RM 1.20 dari Ahmad. Abu dapat faedah dari beliannya iaitu roti untuk dimakan manakala Ahmad pula dapat faedah dari penjualan roti tersebut dalam bentuk untung. Jadi keduanya mendapat manfaat secara adil dan saksama.

Masih ingat firman Allah dalam surah An-Nisa' sebelum ini? Untung dari perniagaan itu adalah dibolehkan.

Berbeza pula dengan riba di mana hakikatnya ia bukanlah hasil pertukaran dua benda berbeza. Orang berhutang meminjam wang dan perlu digantikan semula dengan wang. Hutang perlu dibayar dalam bentuk yang sama dan jumlah yang sama seperti mula-mula ianya dipinjam. Tidak boleh ada pertambahan, pengurangan dan tidak boleh ada perbezaan jumlah dari asalnya. Hasil dari lebihan hutang yang dikenali sebagai riba atau faedah ( interest ) ini jelas hanya menguntungkan sebelah pihak dan menindas satu pihak yang lain.

Ini bermakna orang yang memakan riba telah mengambil harta orang lain secara batil dan ini adalah dilarang di dalam Islam.

Saya berikan contoh di sini, Ali meminjam wang sebanyak RM 10 000 dari bank bagi memulakan perbelanjaannya. Setelah cukup tempoh, Ali tidak mampu membayar kembali jumlah yang sama. Dia terlewat untuk membayar pinjamannya dan pada tarikh dia membayar kembali pinjamannya dia terpaksa membayar dengan jumlah RM 16 580. Perniagaannya belum benar-benar kukuh pada waktu itu.

Lihat perbezaannya, keuntungan perniagaan mendatangkan keadilan kepada kedua belah pihak manakala riba pula menindas satu pihak dan menguntungkan hanya satu pihak yang lain.

3) Orang yang berniaga berdepan dengan berbagai risiko dalam perniagaannya. Risiko harga pasaran yang tidak menentu, ada jatuh dan naik dan juga risiko kemungkinan kerosakan pada barangannya kerana tamat tempoh dan sebagainya. Risiko-risiko ini memerlukan kepada para peniaga untuk menjana keuntungan dari jualannya bagi menghadapi keadaan-keadaan ini dan bagi menampung urusan pentadbirannya.

Orang yang menerima riba pula tidak berdepan dengan risiko-risiko seperti yang dihadapi golongan peniaga. Mereka memberi hutang, memberi pinjam dalam jumlah yang tertentu dan jumlah ini tidak ada expired date, kekurangan dan sebagainya. Jika diberi pinjam RM 100 maka jumlah tersebut adalah 200% mustahil untuk berubah. Maka sudah tentu tidak layak untuk mereka meminta jumlah lebih daripada yang diberi kerana mereka langsung tidak berdepan risiko seperti para peniaga.

4) Keuntungan dari perniagaan adalah tidak menentu. Mungkin peniaga dapat untung sepanjang tahun, atau setiap kali berniaga. Mungkin juga hanya dapat untung sekali sahaja sepanjang perniagaannya untuk tahun tersebut dan jumlahnya pula adalah tidak menentu. Kadang-kadang banyak, kadang-kadang pula sedikit bergantung kepada rezeki yang diperolehi.

Berbeza dengan riba, hasilnya adalah tetap. Selagi peminjam tidak boleh membayar selagi itulah faedah akan dikenakan. Jika dalam masa sepuluh tahun dia tidak mampu membayar, maka selama sepuluh tahun itulah faedah dikenakan dan jumlahnya tetap sepanjang tempoh tersebut. Amat jelas ianya menindas peminjam yang berkemungkinan dibebani berbagai masalah.

Sebagai kesimpulannya, untung yang diperoleh daripada perniagaan adalah dibenarkan di sisi Islam dan halal hukumnya. Manakala hasil riba pula termaktub jelas di dalam Al-Quran akan keharamannya. Jelas ianya memudaratkan ummah.

Sungguh cantik hukum yang disyariatkan Allah kepada hamba-Nya bukan?? Allah tidak mengharamkan sesuatu itu sehinggalah ianya jelas mendatangkan kemudaratan, kesusahan dan beban buat hambanya. Begitu juga segala apa yang dihalalkan buat kita semua adalah sesuatu yang cukup baik, bermanfaat dan bersifat adil kepada kita.

Jadi, kepada yang berteka-teki sebelum ini dan bersoal jawab di dalam hati adakah untung itu sama dengan riba maka anda telah temui jawapannya di sini, Insyaallah. Untung adalah berbeza daripada riba. Jadi jangan takut untuk menjana pendapatan dari perniagaan anda. Keuntungan anda adalah keuntungan buat Ummah!

Jihad Ekonomi, ke arah memperkasa Ummah!


Rujukan :

1) Fikr Masrafi Fil Islami - Dr. Mahmood Syuwaiat, Pensyarah Jabatan Ekonomi & Perbankan Islam Universiti Yarmouk, Jordan.

2) www.zaharuddin.net

3) http://islamictazkirah.blogspot.com/2009/03/beza-antara-untung-dan-riba.html




Sunday, July 6, 2008

HIKMAH PENGHARAMAN RIBA

بسم الله الرحمن الرحيم
Salam istimewa buat sahabat sekalian.. bertemu lagi di lawan kembara ini untuk kita terus memperkatakan tentang riba.
Pada kali ini kita cuba meneroka dan mengembara mencari hikmah pengharaman riba. Mengapa Allah SWT mengharamkan riba sebagimana firmannya dalam surah al-Baqarah: ayat 276:
" وَأَحَلَّ اللهُ اَلبَيعَ وَحَرَّمَ اَلرِّبَا "
Maksudnya:"Allah telah menghalalkan berjual beli dan mengharamkan riba..."
Jadi sudah terang lagi bersuluh bahawa riba itu diharamkan oleh Allah SWT. Tetapi pasti ada kebaikan disebalik pengharaman tersebut. Pasti ada hikmah yang tersembunyi disebalik setiap yang berlaku. Seperti mana yang kita tahu, berlakunya penindasan di dalam pengamalan riba itu. Dan sudah pasti perlakuan yang menindas itu amat tidak dituntut di dalam Islam.
Islam mengharamkan riba kerana ia banyak mendatangkan kesan yang tidak baik dari segi ekonomi mahupun sosial. Dari segi ekonomi, riba adalah jalan yang paling tidak elok dalam mendapatkan serta mengumpul kekayaan kerana ia menindas orang yang dikenakan riba itu. Pengamal riba tidak melakukan apa-apa kerja yang melibatkan pengeluaran ataupun perniagaan tetapi hanya menunggu wang daripada orang yang dikenakan riba. Misalnya di sini pemiutang hanya mengumpul kekayaan daripada faedah yang dikenakan ke atas pinjaman penghutang.Rib hanya meningkatkan kekayaan sebelah pihak sahaja dan langsung tidak menyumbang kepada kekayaan Ummah Islam keseluruhannya.
Selain itu riba juga hanya menyumbang kepada sifat malas untuk berusaha yang akhirnya terjadilah pengangguran di kalangan masyarakat. Tidak berusaha barang sedikit pun tetapi hanya menunggu wang datang bergolek ke kaki mereka. Ini amat bertentangan dengan Islam yang amat menggalakkan umatnya bekerja dan mencari rezeki. Rasullullah SAW swndiri yang merupakan kekasih Allah dan manusia yang mulia pun pernah bekerja sebagai pengembala kambing dan peniaga.
Riba juga boleh mendatangkan kesan terhadap keseimbangan dalam ekonomi sesebuah negara. Faedah yang tinggi boleh membawa kapada ketakseimbangan dari segi penawaran dan permintaan seterusnya boleh membawa negara ke kancah kemelesetan ekonomi.
Dari segi sosial, riba langsung tidak memberi faedah kepada masyarakat kerana ia langsung tidak menyumbang ke arah meningkatnya kekayaan sesebuah masyarakat. Apa gunaya riba kalau hanya meningkatkan kekayaan sesetengah pihak sahaja. Maka sudah berlakulah ketidak adilan dalam ,masyarakat tersebut dan kemungkinan besar boleh menggugat kemakmuran sesebuah masyarakat.
Jelas di sini saudara-saudari sekalian bahawa pengharaman riba itu ada hikmahnya yang tersendiri. Apa yang pasti riba dan segala perkara yang bersangkut paut dengannya perlu dijauhi demi mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT.
Firman Allah Taala dalam surah Ar-Rum, ayat 39 yang bermaksud :
" Dan ketahuilah bahawa sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah ( tidak mendatangkan kebaikan )... "

Friday, June 20, 2008

Adakah Interest,Bunga,Faedah Itu Riba???



Salam..

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini bahawa riba itu adalah suatu pertambahan, perluasan, pertumbuhan dan pembesaran samada banyak atau sedikit. Jadi bukankah yang disebut interest itu satu pertambahan..yang disebut bunga itu satu pertumbuhan aset..yang disebut faedah itu juga satu perluasan kepada harta yang kita miliki?? Jika benar maka dari segi bahasanya sah ia adalah riba.

Kita akan cuba melihat pandangan beberapa ulama Islam berkaitan dengan dengan interest ataupun faedah yang dikaitkan dengan riba.

Imam Tabari menyatakan : " Jenis riba yang diharamkan oleh Allah adalah yang mana peminjam bersetuju membayar kepada si piutang sejumlah tambahan yang tetap sebagai melanjutkan masa pembayaran semula."

Imam Fakhr Al-Din Al-Razi menyatakan : " Riba Al-Nasiah adalah apa yang dikenali dan yang biasa di kalangan orang-orang arab Jahiliyyah. Mereka biasa memberikan pinjaman dengan syarat setiap bulan mereka akan mendapat jumlah yang dipersetujui dengan keseluruhan hutang tetap utuh. Kemudian apabila pinjaman itu telah matang dan si peminjam tidak dapat membayarnya, jumlahnya akan bertambah dan masa bayaran dilanjutkan. Inilah riba yang diamalkan di zaman Jahiliyyah.

Syah Waliyullah ad-Dahlawi, seorang ulama Hanafi menyatakan bahawa unsur riba wujud dalam hutang yang diberikan yang disyaratkan si peminjam akan membayar lebih daripada apa yang dia telah dapati daripada si piutang.

Abd Rahman Al-Jaziri dalam " Al-Fiqh 'ala Mazhahib Al-Arba'ah " menyatakan : " Tidak ada perbezaan pendapat di kalangan para Fuqaha Islam tentang pengharaman riba Al-Nasiah. Tanpa perbahasan lagi, ia adalah satu dosa yang besar. Nabi SAW dan ijmak ummah. Pengertian riba yang nyata dapat difahami daripada ayat suci al-Quran (surah Al-Baqarah ayat 275-279) sebagai riba yang dikenali orang-orang arab Jahiliyyah seperti yang dijelaskan oleh para pentafsir Al-Quran. Sekiranya seorang peminjam tidak berupaya untuk membayar semula wang pinjaman asal setelah pinjaman menjadi matang, dia dibenarkan melanjutkan waktu bayaran semula dengan penerusan riba yang telah dibayar sebelum ini. Inilah riba yang berleluasa kini dan yang dikenakan oleh bank dan lain-lain institusi di negara ini.

Allah telah mengharamkan riba untuk orang-orang Islam. Ayat-ayat suci Allah telah secara tegas mengharamkan riba yang mana kita fahami sebagai sejumlah wang untuk satu tempoh dengan dikenakan faedah dalam bentuk peratus samada secara bulanan atau tahunan .

Next post:Hikmah Pengharaman Riba.

Thursday, June 19, 2008

Pengertian Riba dan persoalannya...

Bismillahirrahmannirrahim..

Jika kita berbicara soal Ekonomi Islam sudah tentu kita tidak dapat lari daripada menyebut tentang 'RIBA'.. Perbezaan yang ketara antara ekonomi konvensional dan ekonomi Islam adalah tiadanya pengamalan riba. Apakah yang dimaksudkan dengan riba itu???

Menurut bahasa riba dimengertikan dengan segala jenis pertambahan, pertumbuhan, perluasan, dan pembesaran samada sedikit atau banyak.

Dalam Syariah, riba merujuk kepada 'premium' yang mesti dibayar oleh peminjam kepada orang yang memberi pinjam bersama-sama dengan jumlah asal sebagai syarat untuk pinjaman ataupun bagi melanjutkan kematangannya. Dalam pengertian ini, riba mempunyai maksud yang sama dengan faedah menurut ijmak kesemua para fuqaha' tanpa pengecualian.

Riba terbahagi kepada 2:

1) Riba An-Nasiah ( ربا النسيئة )
Firman Allah SWT :
ومآ ءاتيتم مّن رّبًالّيربوا فى أموال الناس فلا يربوا عند الله
maksudnya: " Dan ketahuilah bahawa sesuatu pemberian atau tambahan yang kamu berikan, supaya bertambah kembangnya dalam pusingan harta manusia maka ia tidak sekali-kali akan kembang di sisi Allah ( tidak mendatangkan kebaikan )..."

- Turut dikenali sebagai riba al-Jahiliyyah @ riba al-Qardu.
- Imam Tabari menyatakan : " Jenis riba yang diharamkan oleh Allah adalah yang mana peminjam bersetuju membayar kepada si pemiutang sejumlah tambahan yang tetap sebagai melanjutkan masa membayar".
- Dikenali sebagai riba al-Jahiliyyah kerana banyak diamalkan pada waktu tersebut.

2) Riba al-Fadl ( ربا الفضل )

- Setiap pertambahan untuk pertukaran barang dari jenis yang sama.
- Contohnya beras gred A 5kg ditukar dengan beras gred C 10kg.
- Turut dikenali sebagai riba as-Sunnah @ riba al-Bai'.

Dh terang lagi bersuluh kepada kita disini bahawa Allah SWT amat mengharamkan amalan riba ini. Bahkan Allah melaknat semua pihak yangterlibat dalam amalan riba ; samada pemberi hutang yang memakan riba, yang berhutang yang memberi riba, penulis yang mencatat transaksi itu, serta saksi-saksinya. Rasullallah SAW bersabda yang bermaksud:

" Allah melaknat pemakan riba, yang memberi makan, saksi-saksinya dan penulisnya.

Ibnu Majah meriwayatkan dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda:

maksudnya: " Riba meempunyai 99 pintu dosa. yang paling rendah adalah seperti seorang lelaki berzina dengan ibunya sendiri."

Amat berat wahai saudaraku sekaliannya hukuman bagi pengamal riba. Berusahalah sedaya upaya untuk menjauhi riba, faedah, bunga atau apa-apa pun namanya. Jika mahu menggunakan perkhidmatan perbankan pastikalah bahawa bank yang kita pilih itu nyata dan jelas tidak mengamalkan riba. Pilihlah perbankan Islam.. Sanggupkah kita mendapat murka Ilahi hanya untuk sekelumit kekayaan dunia yang pasti habisnya??????